Dewan Bahasa dan Pustaka
Menu Tutup

Penyelidikan MABBIM

Terdapat tiga projek penyelidikan MABBIM berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penyelidikan/Komisi Penelitian MABBIM yang telah/sedang diteliti iaitu Kajian Keberterimaan istilah MABBIM Ilmu Dasar (Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik), Kajian Variasi istilah MABBIM dan Kajian Sikap Bahasa Generasi Muda Terhadap Bahasa Melayu.

1.     Kajian Keberterimaan istilah MABBIM Ilmu Dasar (Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik) 

Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana keberterimaan istilah MABBIM bagi keempat-empat bidang dalam Sains Asas/ilmu Dasar iaitu Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik dalam kalangan khalayak pengguna bahasa. Kajian ini menggunakan data daripada Pangkalan Data Korpus (bagi Malaysia) dan juga maklum balas soal selidik (bagi Indonesia dan Brunei Darussalam) sebagai sumber kajian. Selain dibentangkan dalam Seminar MABBIM oleh pihak Malaysia, dapatan hasil kajian ketiga-tiga negara anggota akan diterbitkan oleh pihak Indonesia. Dapatan hasil kajian ini telah selesai dan diterbitkan dalam bentuk monograf.

2.     Kajian Variasi Istilah MABBIM

Kajian ini dilakukan berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penyelidikan/Komisi Penelitian MABBIM. Kajian ini akan meneliti persamaan leksikal yang wujud dalam bahasa Indonesia, bahasa Melayu dan Brunei Darussalam dan Malaysia. Bahasa Melayu di Malaysia (BMM), Brunei Darusslam (BMBD) dan bahasa Indonesia (BI) merupakan variasi bahasa Melayu. BMM dan BMBD merupakan variasi nasional bahasa Melayu di Malaysia dan Brunei Darussalam, manakala BI merupakan variasi nasional bahasa Melayu di Indonesia. Kajian ini telah selesai dilaksanakan.

3.     Kajian Sikap Bahasa Generasi Muda Terhadap Bahasa Melayu

Kajian ini dilakukan untuk melihat sikap bahasa generasi muda terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan mereka. Dengan adanya kajian ini, satu perancangan yang lebih teliti diharapkan mampu disediakan untuk memastikan golongan muda di kemudian hari tidak lupa bahasa mereka, malah mempunyai jati diri yang kental untuk mempertahankan, mengembangkan, dan memartabat bahasa Melayu.

Tarikh kemas kini : Jumaat, 22 Disember 2023

Total Views: 1604 ,

MAKLUM BALAS

Skip to content