Dewan Bahasa dan Pustaka
Menu Tutup

Pengenalan

Jumlah pelawat : 1,561 , Pelawat hari ini : 19 

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Pada peringkat awal, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru.

Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16-21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu juga, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu i) menggubal dasarnya yang khusus; ii) menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera; dan iii) menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka dua pejabat di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Ini diikuti pula dengan pembukaan empat pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999), Pejabat DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999), Pejabat DBP Wilayah Selatan di Johor Bahru, Johor (2000) dan Pejabat DBP Wilayah Tengah di Kuala Lumpur (2011).

Kini DBP beroperasi di bangunan baharu, iaitu Menara DBP. Bangunan yang mula dibina pada tahun 1977 ini siap pada tahun 2002. Bangunan lama DBP kini dikenali sebagai Wisma DBP.

Tarikh kemaskini : Rabu, 24 Ogos 2022

Total Views: 1568 ,

MAKLUM BALAS

Skip to content