Dewan Bahasa dan Pustaka
Menu Tutup

Pantau Tegur Bahasa

Jumlah pelawat : 154 , Pelawat hari ini : 1 

PENDAHULUAN

Pantau tegur bahasa merupakan satu usaha Dewan Bahasa dan Pustaka yang melibatkan orang awam dalam pengembangan dan peningkatan kualiti bahasa di tempat awam. Usaha ini dikelolakan oleh Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta,

Jabatan Bahasa. Dalam program ini, DBP memberi galakan kepada orang ramai supaya peka terhadap sebarang teraan bahasa pada papan tanda dan papan iklan, sama ada di dalam bangunan atau di luar bangunan. Ganjaran mengikut jumlah pantauan akan diberikan kepada orang ramai yang terlibat sebagai pemantau. Dengan adanya ganjaran ini, pihak DBP berharap usaha untuk meningkatkan kualiti penggunaan bahasa di tempat awam akan menjadi kenyataan.

KONSEP

Pantau tegur bahasa bermaksud mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar bangunan ataupun di dalam bangunan, yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan ayat, dan penggunaan laras, ataupun pencampuradukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagi memastikan tindakan segera diambil setelah proses pengenalpastian kesilapan dibuat, pemantau disediakan dengan sehelai borang untuk dipenuhi dan dipulangkan kepada DBP. Pegawai DBP yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera menghubungi syarikat atau agensi yang berkenaan bagi membuat pembetulan.

MATLAMAT

Merakam, menegur dan mengambil tindakan untuk memperbaik kesilapan bahasa dengan kadar yang segera.

TUJUAN

Untuk menyediakan prasarana bagi orang awam menyalurkan maklumat mengenai penggunaan bahasa yang didapati salah di mana-mana sahaja mereka berada, di seluruh negara, terutamanya di tempat awam.

Untuk menyedarkan semua pihak bahawa sebagai rakyat Malaysia, setiap orang bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Untuk memberi galakan kepada orang ramai menyertai usaha pengembangan bahasa kebangsaan di negara ini.

TEGURAN

DBP akan mengambil tindakan terhadap semua pantauan dengan meninjau tempat-tempat yang telah dipantau. Setelah disahkan kesalahannya, DBP akan menghubungi pihak yang melakukan kesilapan bahasa tersebut dan mengemukakan cadangan pembetulan.
DBP juga akan menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan atau agensi tertentu untuk mendapatkan kerjasama dalam melakukan teguran ini. Pihak berkenaan akan diberi tempoh untuk membuat pembetulan. Pemantauan untuk melihat keberkesanan teguran tersebut akan dilakukan oleh pihak DBP setelah tamat tempoh berkenaan.

Antara ciri pencemaran bahasa ialah

  • Pengutamaan bahasa asing
  • Saiz atau warna
  • Penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu
  • Ejaan
  • Pemilihan kata
  • Pembentukan kata
  • Pengolahan ayat
  • Penggunaan laras
  • Pencampuradukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris

Tarikh kemaskini : Rabu, 3 Ogos 2022

Total Views: 154 ,

MAKLUM BALAS

Skip to content