Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) ialah tradisi pertemuan para sasterawan empat negara serumpun (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam) yang telah dimulakan sejak tahun 1977. Antara resolusi PSN untuk mewujudkan Anugerah Sastera Nusantara. Anugerah ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis-penulis yang memberikan sumbangan yang bermakna dalam perkembangan sastera negara masing-masing. Resolusi tersebut hanya dapat dilaksanakan pada PSN IX di Sumatera Barat, Indonesia, pada tahun 1997. Anugerah diberikan kepada para penulis berasaskan buku-buku dalam genre puisi, cerpen, novel, drama dan esei kritik. Para pemenangnya terdiri daripada penulis-penulis Indonesia. Anugerah ini ialah sumbangan daripada Gabenur Sumatera Barat.
Tujuan diwujudkan Anugerah ini adalah untuk menghargai dan mengiktiraf tokoh-tokoh sasterawan dari empat negara, mewujudkan semangat Nusantara di kalangan penulis melalui suatu pengiktirafan yang bersifat serantau, dan memberikan makna kepada PSN untuk menjadi pertemuan yang berprestij melalui skim anugerah sastera yang berwibawa. Nilai hadiah Anugerah Sastera Nusantara ini ialah wang tunai bernilai RM5,000.00 dan Warkah Penghargaan.
Senarai Penerima Anugerah Sastera Nusantara
Tarikh kemas kini : Jumaat, 22 Disember 2023