Dewan Sastera November 2004

 

 

 

November 2004
  Ramadan - Syawal  1425
      Jilid 34 Bil. 11
   KK 800-90433-1104

 

Daripada Editor
Jangan Salah Gunakan Teknologi IT

Surat Kepada Editor
Membudayakan Karya Usman Awang
Sami Nat

Kalendar 2005 DBP Secantik 2004 kah?
Saad Taib

Ujana Klasik
Pantun Orang Dagang
Isbiha

Cerpen
Nota Almere - Strad
Siti Zainun Ismail

Profesor Sufi
A. Rahmad

Sumpah Si Tagal
Lucas Takip

Padam
Irwan Abu Bakar

Drama  
Monolog di Hadapan Pulau
A. Samad Said

Puisi Bulan Ini
 Kellip-kelip Berkelip-kelip  
Zaiton Ajamain

Saf Hadapan
Sabar Bohari

Kepala 3
Nassury Ibrahim

Sentuhan Biola Sukma
Marzuki Ali

Memetik Bintang Kenangan
Ihsan Noorzali

Tembok Rapuh
Padzali@Salim Haji Taib (agus Salim)

Puisi-puisi Permintaan
Shapiai Muhamad Ramly

Suara Bumi   
Hasbima

Puisi Pilihan 
Irwan Abu Bakar

Karyawan Bulan Ini 
Irwan Abu Bakar

Hati Tertancap dengan  dengan "Sesal Oranb Melaka"
Zurina Hassan

Wawancara 
Sastera Siber Menenggelamkan Sastera Konversional?
Rohaya Mohd. Yusof

Fokus
Masa Hadapan Sastera Anda dalam E-sastera 
Irawan Abu Bakar

Kedai Buku Online Pilihan Alternatif kepada Pembeli 
Nisah Haji Haron

Akhir yang Penting ialah Karya yang Sejati
Baha Zain

Sastera dan Buku di Hujung Tertikus
Faisal Tehrani

Sastera Kavyan di Ruang Siber
Uthaya Sankar SB

Sorotan Buku 
Hostel: Debaran Kedua
Menginai Badai
Salju Shibuyu
Mencari Locus Strandi 
Menyarung Jiwa/ Soulship

Tabir Hayat
T. Alias Taib dan Karya Siber
Irwan Abu Bakar

Saya Akan Pergi Jauh...
Raja Yusoff Ariffin

Sastera Antarabangs
Badai Derita Kafka
Jeniri Amir

Sorotan
Shaharom Hussain Tidak Ada Kesinabungan dalam Penulisan?Rozninah Abd. Azib

Penganugerahan Pingat Pbalo Neruda Satu Catatan Sejarah
Ruziah Md. Yunus

Wajah Karya Agung Malaysia Rozninah Abd. Azib

Gema Harapan
Dari Sarang Tua Kami
Arena Wati

Pabila Hujan Turun
Bak Setitik Air dengan Lautan
Shahnon Ahmad
Shahnon Ahmad

Nurani Seni
Mencari Keindahan dalam Pembacaan
A. Samad Said

Analisis
Meneruskan Kehidupan dan Mencari Diri
Che Abdullah Che Ya

Antara Pemerian dengan Sublimasi
Ahmad Kamal Abdullah

Kajian
Sinisme Sajak-sajak Baha Zain
Nassury Ibrahim

 

Karyawan Bulan Ini IRWAN ABU BAKAR

 

DARIPADA EDITOR

Jangan Salah Gunakan Teknologi IT

IMPIAN kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad  dahulu iaitu untuk melihat harapannya satu rumah satu komputer menjadi kenyataan kini hampir-hampir tercapai. Kebanyakan masyarakat kita tidak canggung lagi dengan penggunaan komputer malah menjadi mesra komputer. Kalau dahulu komputer menjadi lambang kecanggihan dan keintelektualan penggunanya tetapi kini masyarakat tidak lagi berasa pelik dengan teknologi ini.  Kebanyakan penulis juga sudah mesra dengan penggunaan komputer. Pengiriman karya juga dimanfaatkan dengan penggunaan e-mel yang lebih mudah dan cepat. 
   Kemunculan laman web sastera termasuk yang dimanfaatkan oleh media massa seperti televisyen dan radio yang menyediakan laman web untuk berbalas pantun misalnya satu contoh yang baik untuk mengembangkan dan menghidupkan  sastera kepada generasi muda. Hal ini adalah kerana kemudahan dan kecanggihan teknologi berkomputer lebih cepat dikuasai oleh generasi muda. Tidak menghairankan  jika generasi sekarang tidak lagi mengetahui cara mengutus surat dengan menggunakan khidmat  pejabat pos. Jalinan kemesraan antara sahabat handai kini lebih mudah iaitu dijalinkan melalui mel elektronik (e-mel) dan sistem pesanan ringkas (SMS). Namun demikian budaya hidup berkomunikasi secara berkomputer ini dicelakan oleh penyalahgunaan terhadapnya. Isu hangat tentang e-mel beracun  dan SMS yang digunakan untuk menyebar fitnah memburukkan personaliti terkenal Siti Nurhaliza baru-baru ini  telah memburukkan reputasi kemudahan internet ini. Kita takjub dengan bakat ?kreatif memfitnah?, mereka cerita dan membina plot demi plot dan episod demi episod.  
Berikutan masalah ketagihan bersembang (chit-chat) melalui laman web yang membuang masa berfaedah individu dan kadang kala hingga merosakkan masa hadapan hubungan kekeluargaan juga menjadi masalah yang sedang meledak dalam masyarakat kita sekarang.
 Kemunculan beberapa laman web sastera sama ada yang diusahakan oleh badan penulis atau individu merupakan satu langkah yang baik bagi menarik perhatian masyarakat yang ketagihan menggunakan komputer untuk tujuan yang tidak berfaedah kepada satu aktiviti yang berfaedah. Amat sayang jika bakat berkarya dan kekreatifan mereka hanya digunakan untuk tujuan memburukkan orang lain. Kemunculan laman web sastera atau sastera dalam talian ini adalah sebagai pembuka jalan untuk mengasah bakat pengguna menjadi penulis sama ada sebagai hobi dan seterusnya menjadikannya sebagai profesion. Dewan Sastera November 2004, memfokuskan isu ini bagi melihat sama ada kemunculan sastera dalam talian atau maya ini akan menggugat  sastera konvensional atau sebaliknya sebagai penyeri terhadap perkembangan sastera tanah air.

Sempena bulan mulia ini kami Sidang Redaksi Dewan Sastera mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kami menyusun sepuluh jari memohon kemaafan jika ada yang menggores hati. 
  

       Rozninah Abd. Azib 

 


 

 

 

 

 

 

 

FOKUS

MASA DEPAN SASTERA ANDA BERADA DI E-SASTERA

Oleh  Irwan Abu Bakar


APABILA bangun daripada tidur pagi itu, ada kawan yang menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepada saya bahawa seseorang telah meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya di Lebuh Raya Karak.  Saya terperanjat apabila membaca sistem pesanan ringkas (sms) itu.  Saya dukacita.  Kenapakah dia begitu cepat mati?  Adakah sesiapa yang cuba mensabotaj saya?   Dia yang mendebarkan saya itu baharu sahaja diperkenalkan kepada khalayak.  Dia ialah pelajar sebuah institut pengajian tinggi di negara ini yang  dituduh berkhalwat dengan Dekan fakultinya.  Tiba-tiba pagi itu dia mati.  Kenapakah dia harus dimatikan sebegitu cepat?
  Begitulah persoalan di minda saya pagi itu lantas saya cepat-cepat membuka komputer dan internet untuk membaca episod baharu kepada  novel siber berjudul Hostel yang baharu ditambah oleh seorang pembaca. Dia yang baharu saya terima berita kematiannya itu, saya perkenalkan dalam episod sebelumnya untuk menjadi watak wanita utama atau heroin bagi novel itu.
  Itulah antara proses penulisan dan apresiasi yang saya alami semasa menggarap e-novel berjudul Hostel bersama-sama beberapa ramai penulis lain.  Kini e-novel Hostel itu telah dihentikan penulisannya.  Masa yang diberikan oleh pengasasnya telah sampai tempohnya.  Malah novel itu telah diterbitkan sebagai sebuah novel konvensional dengan judul Hostel: Debaran Kedua.  Novel itu, dalam bentuk asalnya di internet, merupakan contoh sebuah karya siber. 
  Ada dua mitos yang berkaitan dengan karya sastera di alam siber, seperti yang berikut:
. Karya siber ialah karya yang diterbitkan di internet. 
. Apabila bercakap tentang karya siber, kita bercakap tentang potensi masa depan internet sebagai medium berkarya yang berkesan.
Pernyataan (1) saya anggap sebagai mitos kerana sifatnya yang hanya separuh benar.  Hakikatnya, definisi karya siber harus merangkumi bentuk karya moden yang mengintegrasikan ciri-ciri multimedia (teks, warna, grafik, animasi, dan bunyi) dan/atau bersifat interaktif (mampu memberi tindak balas terhadap rangsangan "pembaca") serta dikomposisikan dengan memanfaatkan sistem link internet.  Maka karya "biasa" yang diterbitkan di internet dengan teks hitam pada latar putih tidak wajarlah dianggap sebagai karya siber sebenar (barangkali dapat dianggap sebagai "karya siber primitif"). Mungkin karya itu bermutu tinggi dari sudut pengkaryaan biasa (konvensional) namun belum dapat memenuhi tuntutan "kualiti" yang dikehendaki dari sebuah karya siber yang sebenar. Di samping itu, kata "pembaca" dalam huraian di atas haruslah dianggap sebagai kata yang telah dilunjurkan maknanya kepada seseorang yang melalui keadaan apresiasi yang lebih umum daripada hanya "membaca". Barangkali, kata "pembaca" itu harus ditukar kepada "pengapresiasian".
  Definisi yang saya berikan untuk karya siber itu menuntut anjakan paradigma dalam proses pengkaryaan dan apresiasi.  Misalnya, "puisi siber" tidak lagi semata-mata "ditulis" dalam bentuk The best words in the best order (definisi Coleridge yang popular itu), sebaliknya perlu ?dikomposisi? untuk mewujudkan mood atau emosi yang dikehendaki.  Sebagai contoh, puisi yang diiringi muzik latar yang sesuai akan membantu dalam proses apresiasi. Penulis boleh juga memasukkan grafik dan teks beranimasi untuk mengukuhkan luahan emosinya.  Juga boleh ditambah suara penyair yang berkenaan mendeklamasi puisinya itu.
  Contoh kedua ialah apresiasi terhadap sebuah e-novel (novel seperti Hostel yang ditulis secara sambung-menyambung  di internet dan berbeza dengan novel yang disiarkan di internet setelah selesai ditulis).  Sesebuah e-novel tidak diapresiasikan setelah proses pengkaryaannya tamat sebaliknya diapresiasikan (dibaca) semasa sedang ditulis. Penulis-penulis dan pembaca-pembaca semuanya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada seseorang watak dan kepada cerita keseluruhannya.  Tidak ada bab/halaman akhir untuk dibelek jika kita berasa ingin tahu apa yang akan berlaku.  Malah pembaca yang berminat dapat pula menyambung sendiri novel itu bagi menentukan arah cerita.  Membaca sebuah e-novel menghampiri keadaan kita melihat watak yang hidup dalam dunia sebenar: hari ini kita bertemu dengannya, namun kita belum tahu apa-apa yang akan berlaku kepadanya selepas itu.
  Pernyataan (2) yang menganggap bahawa internet akan menjadi medium penerbitan yang penting pada masa hadapan adalah juga suatu mitos.  Hakikatnya, internet atau alam siber (saya akan gunakan dua istilah ini secara bersinonim dan abaikan perbezaan teknikal antaranya), telah pun menjadi medan penerbitan karya sastera yang penting dan amat menonjol pada hari ini.  Lihat sahaja bagaimana laman web poetry.com telah merevolusikan cara orang Barat menerbitkan kreativiti mereka dalam genre puisi.  Bagaimana pengendali laman web yang berkenaan dapat menjana pendapatan melalui penerbitan dan kegiatan-kegiatan lain yang berkaitan dengannya.  Di samping itu, semua perkara yang saya perkatakan di atas tentang karya multimedia dan interaktif di internet  ialah perkara yang sedang berlaku dan bukannya perkara yang diharapkan akan berlaku. Di Malaysia sendiri, misalnya, tradisi mengkomposisikan sajak siber berbentuk multimedia dengan menggunakan link-link internet telah dimulakan di majalah elektronik sastera, esastera.com, hampir dua tahun lalu secara selangkah demi selangkah.  Kini proses itu telah pun hampir matang.  Hampir kesemua aspek multimedia telah diterokai sekadarkan penulisan karya interaktif masih belum berjaya dilaksanakan.  Jelaslah bahawa hal ini bukanlah perkara baharu yang sesuai untuk masa akan datang, sebaliknya sesuatu yang sudah pun bertapak kukuh dalam tradisi berkarya generasi baharu.
  Saya sengaja memulakan tulisan ini dengan menimbulkan dua perkara di atas untuk meletakkan kedua-dua isu itu (definisi karya siber dan kedudukan internet sebagai medium penerbitan karya sastera) pada kedudukan yang betul.  Walau bagaimanapun, biarlah saya kembali memperkatakan isu-isu yang berkaitan dengan penerbitan karya sastera siber secara umum.
  Sastera siber atau "E-sastera" (saya pinjam nomenklatur yang digunakan oleh Johan Jaafar, DS Februari 2004, yang menggunakan huruf besar "E" untuk merujuk kepada sastera siber secara umum) telah berkembang dengan pesatnya di seluruh pelosok muka bumi. Di kebanyakan negara termasuk negara-negara Asia, telah pun wujud laman-laman web utama yang menerajui perkembangan sastera  masing-masing di alam siber. Malaysia juga dapat dianggap telah agak maju dalam hal ini.  Malah di Asian International Poetry Festival yang berlangsung di Universiti Malaya pada Januari 2004, hanya Malaysia sahaja yang telah membentangkan kertas kerja tentang sastera siber, iaitu kertas "New Thinking On Cyber Poems" oleh Irwan Abu Bakar.
  Di samping Malaysia, karya sastera berbahasa Melayu juga popular di negara jiran, Indonesia.   Laman web "cybersastra.net" (dikelolakan oleh sebuah badan bernama Yayasan Multimedia Sastra) memang dikenali ramai, termasuk oleh peminat-peminat sastera dari Malaysia.
  Eloklah kita ketahui bahawa laman-laman web yang menyiarkan karya sastera terbahagi kepada dua kategori, iaitu (a) laman web peribadi dan (b) laman web awam.  Laman web peribadi dimiliki oleh seseorang individu atau sesuatu kumpulan pengkarya untuk menyiarkan karyanya sementara laman web awam pula terbuka kepada khalayak umum dan menyediakan kemudahan untuk sesiapa sahaja menyumbangkan karya. Laman web awam pula dapat dibahagikan kepada dua subkategori: (i) laman web yang penyiaran karya dikawal oleh pengendalinya dan penulis dikehendaki menghantar karya untuk dinilai sebelum disiarkan dan (ii) laman web yang bersifat "demokratik" yang menyediakan kemudahan untuk penulis sendiri menyiarkan karya masing-masing, dengan pemantauan atau pengeditan dilakukan oleh pengendali laman web itu setelah karya disiarkan.  Dalam tulisan ini, saya tidak akan memberikan perhatian kepada ribuan laman web peribadi yang ada di internet kerana laman web yang sedemikian tidak lebih daripada koleksi peribadi. Web peribadi dalam konteks penerbitan konvensional, sebagai "buku catatan" penulis sendiri yang sesetengahnya telah ditinggalkan atau dilupai oleh pengasasnya sendiri. 
  Di Malaysia, satu-satunya laman web awam yang mengkhusus kepada penyiaran bahan-bahan berkaitan sastera berbahasa Melayu secara sistematik  ialah esastera.com (diterbitkan oleh individu melalui syarikat E-sastera Enterprise).  E-majalah ini dibuka 24/7 (24 jam sehari dan tujuh hari seminggu) untuk penulis menyiarkan sendiri karya mereka atau membaca karya yang disiarkan.  Majalah itu dibahagikan kepada 13 ?komuniti? sastera yang berlainan. Setiap komuniti dipisahkan dengan jelas untuk menangani genre yang berlainan seperti sajak, cerpen, sajak jenaka (sajen), pantun, haiku (puisi tiga baris dari Jepun), novel, dan sebagainya.  esastera.com akan menyambut ulang tahun keduanya pada 20 Disember 2004 ini.  Namun jika dikira dari tarikh lahir komunitinya  yang pertama, "Penyair", esastera.com sudah berusia melebihi dua ...

 

 

 

 

 

 


   Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera November 2004. Kini di pasaran... dapatkan segera!

  Arkib

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dalam talian sila layari . Untuk melanggan sila layari 

 

   

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                             Tarikh kemaskini: 8 November 2004. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal maklumat: Bahagian Majalah.  


Kemaskini pada 2017-03-16 15:54:35 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.