Dewan Sastera Mac 2005

 

Daripada Editor
Etika dan Intergriti yang Perlu Dibina

Surat Kepada Editor
Kembalikan Nostalgia
Masuri S.N

Hadiah Sastera Perdana Malaysia Perlu Pembaharuan  
Osman Ayob

Ujana Klasik
Gurindam Murid Dahulu Murid Sekarang
Mahaya Mohd. Yassin

Cerpen
Aku Mahu Hidup 
Ghazali Lateh

Al-Mulk 
Wan Asyeah Wan Nawang

Aku Merapi daripada Dosamu
S.M. Zakir

Ke Neraka 
Suratman Markasan

Drama  
Dadameah Albab
Anuar Nurarai

Puisi Bulan Ini
 Sampah Sarap 
Nahmar Jamil.

Di Hentian Transit
Marzuki Ali

 Mencari Makna Kualiti
Rahman Shaari

Berkelana
Darma Mohammad

Beban Bangsa
 A. Wahab Ali

Selepas Menonton Puteri Gunung Ledang
Raihani Mohd. Saaid

Menatap Hayat
Fudzail

Warna-warna Kehidupan
Wahba

 Warna-warni 
Mahanie Sulong

Hutan ini Telah Kubeli
Solihin Osman

Puisi Pilihan 
Mahaya Mohd. Yassin

Karyawan Bulan Ini 
Mahaya Mohd. Yassin

Mendidik dan Menulis Saling Memperindah Kehidupan Mahaya Mohd. Yassin

Fokus
Membina Integriti Penulis
Jeniri Amir

Pelanggaran Hak Cipta: Dari Zaman Cetak Gutenberg Hingga Zaman Siber 
Azizah Hamzah

Undang-undang Fitnah, Libel, dan Slander
Norhafsah Hamid

Mempertahankan Hak Cipta
Nisah Haji Haron

Penciplakan Penyakit Penulis Sepanjang Zaman
Muhd. Mansur Abdullah

Tabir Hayat
Akhirnya Dia Pergi Jua
Sitti Rahmah G. Haji Ibrahim

Reaksi
 Ruang Penyelidikan Terbuka Luas Kini
Zalilah Sharif

 Sastera Islam yang Saya Amat-amati
Bukhari Lubis

Kajian
 Membongkar Keunikan Puisi Melayu Tradisional
Rogayah A. Hamid

 Antara Memoir dan Autobiografi: Kajian Generik TerhadapMemoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi 
Sohaimi Abdul Aziz

Sastera Antarabangsa
Derida Tidak Menulis Lagi
Awang Azman Awang Pawi

 Analisis
Kesedaran Kendiri Melalui Gelodak Jiwa 
Muhd. Mansur Abdullah

Menelusuri Lapis Makna Dalam Puisi 
Abdul Razak Mohd. Kassim

Pabila Hujan Turun
 Ceper dan Sasterawan
Shahnon Ahmad

Gema Harapan 
Mas dari Jauh dan Dekat 
Arena Wati

Sorotan  
Sayembara Puisi Johor 2004
Rusdi Abd. Rahman

Ulasan Buku 
Peneraju Zaman 
Daksina 
Semoga Cepat Sembuh

FOKUS

Membina Integriti Penulis

OLEH JENIRI AMIR


DALAM keghairahan  menerbitkan hasil penulisan dan mencipta nama, pelbagai gejala hasil daripada tindakan tidak sihat dan tidak bertatasusila dilakukan oleh pengarang.  Antara gejala tersebut ialah penulis  menggunakan data, statistik, maklumat, idea, pemikiran, ungkapan, dan bahasa berdasarkan karya pengarang lain tanpa keizinan atau tanpa memaklumkan sumbernya. 
   Tindakan ini jelas bercanggah dengan etika dan undang-undang hak cipta kerana menceroboh harta intelek pengarang asal.  Menciplak karya orang lain merupakan jenayah intelektual dalam dunia kreatif, penulisan, penyelidikan, dan kesarjanaan.  Perbuatan itu sama berat dengan jenayah sosial dan dipandang hina dari segi moral dan agama. 
   Menciplak hampir sama tua dengan kegiatan penulisan, samalah dengan kegiatan pelacuran yang sama tua dengan kehidupan.  Isu tersebut sering dibincangkan dalam kalangan sarjana, ilmuwan, penyelidik, pengarang, editor, dan penerbit.  Banyak universiti di dalam dan di luar negara yang menyediakan garis panduan penulisan untuk mengelakkan perbuatan itu dan mengenakan tindakan tegas terhadap pelakunya.  
    Beberapa tahun lalu, perbuatan berkenaan agak berleluasa dan mencetuskan polemik apabila beberapa orang pengarang muda menciplak cerpen dan puisi penulis lain, terutamanya karya penulis mapan.  Cerpen, puisi dan karya deskriptif, termasuk esei dan rencana lebih cenderung diciplak, berbanding novel dan drama. 
   Dari segi undang-undang hak cipta, menciplak merupakan perbuatan meminjam, mengambil dan mengeluarkan semula apa-apa bentuk karya secara keseluruhan atau sebahagian karya berkenaan, sama ada dalam bentuk asal ataupun dalam bentuk terbitan tanpa keizinan pengarang asal.  Mengikut Glosari Istilah Kesusasteraan, plagiarisme ialah penciplakan atau kegiatan dalam kesusasteraan, yakni mengambil karya orang lain yang pernah tersiar atau diterbitkan yang dianggap mungkin sudah dilupakan oleh pembaca, lalu diakui oleh penulis itu sebagai karyanya yang asli.  Plagiarisme merupakan perbuatan mengemukakan gagasan, pendapat, kesimpulan, fakta, hasil penemuan penyelidikan, dan wacana olahan orang lain sebagai karya sendiri, iaitu tanpa membuat attribution atau menyatakan sumber, atau melakukannya tanpa mengikut konvensi piawai penulisan. 
   Undang-undang pertama yang memberi hak cipta pengarang ialah Statue of Anne yang diluluskan oleh Parlimen British pada 1710.  Pada peringkat awal perundangan, pihak Inggeris memperakukan bahawa pengarang memiliki hak terhadap karyanya berdasarkan prinsip natural justice. 
   Hak cipta ialah hak eksklusif yang dberikan oleh undang-undang kepada pencipta atau penerima haknya untuk mengawal pengeluaran semula atau berbagai-bagai bentuk penggunaan semula karya berkenaan bagi sesuatu tempoh tertentu.  Dengan kata lain, hak cipta  ialah berdasarkan premis bahawa para pencipta mempunyai ?hak kepunyaan? terhadap karya mereka. Hak cipta menjadi harta intelek mereka, dan mereka berhak melindunginya.  Penulis perlu mendapat izin daripada pengarang asal sesuatu karya jika ia mahu menyedut dan mengubahsuainya.
Mengikut Akta Hak Cipta 1987, karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta ialah karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi, dan siaran.  Dalam konteks ini, ?karya sastera? termasuklah novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, syair, lakonan, drama, arahan pentas, filem, skrip siaran, biografi, karangan, surat, laporan, memorandum, dan artikel.  
   Mengikut akta ini, karya sastera, muzik, dan seni tidak layak mendapatkan hak cipta, melainkan usaha yang mencukupi telah dilakukan untuk menjadikan karya itu bersifat asli, telah ditulis, direkodkan atau dijadikan dalam bentuk bahan.  Maksudnya, undang-undang ini tidak melindungi idea, tetapi pernyataan atau penzahiran idea itu dilindungi. 
    Hak cipta mengesahkan bahawa sesuatu karya ialah hak peribadi eksklusif pengarang atau penerbit. Hak eksklusif itu penting kepada penerbit kerana ini akan membolehkannya menjual dan mengedarkan hasil karya tersebut sebanyak dan seluas mungkin.  Tanpa undang-undang ini, sesiapa sahaja boleh meniru, mencedok, mencuplik, memplagiat, mencetak rompak dan menyebarkan karya berkenaan sesuka hati.  
   Menciplak sama buruk dengan perbuatan menyamun.  Justeru, hak cipta dapat menggalakkan pengarang untuk berkarya, merangsang mereka untuk berkreativiti, dan seterusnya memelihara nama baiknya.  Hak cipta merupakan harta penulis yang melindungi kepentingannya daripada dilanggar oleh pihak lain. Secara khusus, undang-undang ini melindungi karyanya daripada diterbitkan, dicetak, dan diedarkan oleh pihak lain, tanpa kebenarannya. 
   Pengarang  dapat dilindungi dari segi hak ekonomi dan hak moral, justeru mengelakkan dirinya daripada dieksploitasikan atau hasil penat lelahnya diperah oleh pihak lain.  Pendapatan penerbitan tentu akan terjejas teruk jika pihak lain boleh menerbitkan, mencetak rompak dengan memplagiat karya pengarang,  dengan sesuka hati. 
    Penerbit akan dapat mengurangkan risiko daripada mengalami kerugian dengan adanya undang-undang ini.  Jika perbuatan menciplak dibenarkan, sesiapa sahaja akan melakukan perbuatan itu tanpa perlu bersusah payah, dan akhirnya karya yang beredar di pasaran ialah karya tiruan, ciplakan, dan palsu.  Perkara ini tidak membantu pertumbuhan dan perkembangan dunia sastera juga penulisan, yang subur dan sihat. 
    Tidak akan ada pengarang yang berminat untuk berkarya jika orang lain meraih keuntungan daripada keringatnya.  Kita tidak harus membenarkan gejala ?Lembu punya susu, sapi punya nama? dalam bidang penulisan dan kesusasteraan kita ini berleluasa.
    Dari segi moral, hak cipta akan merangsang penulis untuk terus berkarya, kerana apabila karyanya diterbitkan, pengarang akan dibayar honorarium atau royalti.  Keghairahan pengarang untuk berkarya ekoran daripada ganjaran dan pengiktirafan yang diterimanya memberikan kesan positif terhadap pertumbuhan budaya dan tamadun bangsa.  Karya berkenaan akan memperkaya korpus ilmu dalam bidang berkenaan.  
    Hak moral ini memberikan kepuasan kepada pengarang namun, pengiktirafan tidak akan bermakna jika sesiapa sahaja boleh menceroboh haknya, iaitu boleh memplagiat, meniru, mencedok, mencetak, dan seterusnya ... 

DARIPADA EDITOR

Etika dan Integriti yang perlu dibina 

Rozninah Abd. Azib  

Kerajaan melihat salah satu sebab masalah sosial semakin sukar  dibendung adalah kerana hilangnya nilai integriti dalam diri insan. Tanpa nilai ini, berlakulah jenayah pembunuhan, perogolan, peras ugut, samseng jalanan, ragut, rasuah, dan segala macam tingkah laku yang tidak bermoral yang merosakkan ketenangan hidup masyarakat.
  Menyedari kepentingan nilai integriti  yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah masyarakat, institusi, negara dan tamadun, maka kerajaan melancarkan secara berleluasa kempen memulihara dan membina integriti masyarakat, bermula seawal usia kelahiran di bawah asuhan tidak formal ibu bapa di rumah. Seterusnya dipupuk nilai integriti tersebut di sekolah  dalam kawalan dan tunjuk ajar guru  hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Peringkat alam pekerjaan dianggap tempoh kematangan nilai integriti individu yang dipamerkan melalui tindakan dan tingkah laku semasa melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan oleh masyarakat kepadanya.
     Bersesuaian dengan matlamat itu Pelan Integriti Nasional (PIN) melalui Institut Integriti Malaysia (IIM) menjadi jentera pelaksana PIN, bermatlamat untuk  melahirkan masyarakat dan negara Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang dari segi pencapaian intelektual, ekonomi, dan sosial yang berkait rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik dan murni.
   Dalam kalangan penuli, nilai integriti yang perlu dibina dan dipulihara ialah sikap kejujuran dalam penulisan. Perbuatan menciplak, memplagiat, meniru bulat-bulat tulisan orang lain merupakan  perbuatan yang tidak wajar menjadi amalan penulis. Apatah lagi menjadikan medan penulisan sebagai tempat menabur fitnah yang bertujuan untuk menjatuhkan nama baik orang perseorangan atau sesebuah institusi. 
    Dewan Sastera Mac memfokuskan isu jenayah dalam penulisan di samping membawa pembaca kepada kesedaran dan pengetahuan akan kesan dan akibat daripada amalan buruk ini, dan  langkah-langkah yang  boleh diambil oleh penulis dalam melindungi hak sebagai penulis.
   Mungkin tidak banyak penulis berani secara terbuka   mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan dalam jenayah intelektual ini kerana kurangnya pengetahuan tentang proses perundangan. Dewan Sastera Mac mungkin akan mengubahkan sikap  penulis yang selama ini, lebih selesa berdiam diri daripada bertindak dengan mengikut landasan undang-undang yang betul sehingga amalan menciplak, mencetak rompak dan memfitnah karya semakin berleluasa. 
   Dengan pembinaan nilai integriti dalam kalangan penulis ini mungkin kecenderungan mengamalkan sikap negatif dalam penulisan akan dapat dihapuskan sama sekali  kerana semua perkara bermula dari hati.  Hati yang tidak ada nilai integriti akan menzahirkan sikap dan tingkap laku yang tidak bermoral dan kelangsungan kepada amalan hidup yang buruk dalam kehidupan.

           

 

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera Mac 2005. Kini di pasaran... dapatkan segera!

  Arkib

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dalam talian sila layari . Untuk melanggan sila layari 

 

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                             Tarikh kemaskini: 3 Mac 2005. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal maklumat: Bahagian Majalah.  


Kemaskini pada 2017-03-16 15:48:01 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.