Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Telefon Penting 03-2147 9000 | webmaster@dbp.gov.my |     
   
   
Laman Web Rasmi
Dewan Bahasa dan Pustaka                           

                                                                                                                                                                                             Soalan Lazim      Hubungi Kami      Aduan dan Maklum Balas       Peta laman

Print

DBP martabat bahasa kebangsaan dalam sektor perbankan

 

 
 
 

MEMPERKATAKAN mengenai bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan, ia adalah antara isu yang mendapat perhatian banyak pihak kerana dikatakan tahap penggunaan yang dilihat masih kurang walaupun pelbagai kempen dan galakkan dilakukan terutama dalam kalangan sektor swasta.

Apakah penyebab kepada perkara ini dan apakah usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai agensi pengembangan Bahasa Melayu untuk memperkasakan perkara ini. Wartawan BH, Azran Jaffar, menemubual Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Profesor Dr Zaharani Ahmad untuk membincangkan semangat sektor kewangan terhadap bahasa kebangsaan dan sudah sampai tahap mana keberkesanannya.

 
 

BH: Bahasa Melayu nampaknya belum dimartabatkan sepenuhnya dalam sektor kewangan. Apa yang Profesor boleh katakan mengenai situasi ini?

Dr Zaharani: Secara umumnya sektor kewangan banyak menggunakan bahasa Inggeris, tetapi dalam konteks menyahut seruan DBP  dan menyokong Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) kita nampak pembabitan mereka. Jika kita lihat kepada strategi 1 DBP iaitu  perluasan dan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan sektor awam, kita tak ada masalah berhubung perkara ini. Apa pun kita harapkan ada kesedaran dalam kakitangan sektor swasta terhadap penggunaan bahasa Melayu dan kita percaya apabila ini berlaku,  bila berhubung dengan masyarakat mereka akan menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. 

 

Mengenai strategi ini, ia merangkumi pelbagai aktiviti seperti penataran bahasa dan bengkel yang dihadiri  pegawai sektor awam dan swasta yang mana kita mengajar bagaimana menulis memo menggunakan bahasa Melayu yang baik, apa  kesalahan bahasa dilakukan dalam surat menyurat. Kita juga ada pemupukan bahasa dan pemantauan yang mana kalau ada  kesilapan kita beri teguran. Kita juga adakah program seperti pidato, baca puisi supaya semangat menggunakan bahasa Melayu itu  ada yang kemudiannya akan beransur-ansur menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. 

Kita juga melihat program pidato yang dianjurkan DBP bersama Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlangsung dari 9  hingga 11 Jun dapat memasyarakatkan, menyebar luas, membudayakan dan menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu terutama dalam kalangan kakitangan BNM sendiri dan institusi kewangan. Selepas beberapa tahun dianjurkan kita melihat pembabitan kakitangan institusi kewangan semakin meningkat, begitu juga dalam kalangan bukan Melayu. Kita percaya pidato ini, selain mengemukakan idea dan buah fikiran ia juga memperlihatkan dari segi ilmu perbankan untuk berhujah dengan yang penting ia disampaikan dalam bahasa Melayu. Inilah kebaikannya kerana bercakap tetapi tak ada hujah tak boleh juga.  Justeru kita lihat, bila dah menang mereka ada semangat dan seterusnya mungkin terfikir menggunakan bahasa Melayu dalam  borang dan dokumen perbankan. Inilah membantu kita dalam mengembangkan bahasa Melayu di institusi kewangan.   

BH: Bagaimanapun, kalau setakat kakitangan tidak ada masalah tetapi dengan pelanggan misalnya, begitu juga dengan  dokumen yang masih banyak dalam bahasa Inggeris. Bagaimana kita nak kurangkan perkara ini sebelum mereka dapat menggunakan bahasa Melayu  sepenuhnya?

Dr Zaharani: Bila ada kesedaran dalam kakitangan ia akan beransur-ansur menuju ke arah itu. Kita tak boleh nak lakukan  sekaligus. Jadi bila mereka dah fasih, kita harapkan selepas itu segala dokumen, perjanjian atau borang dikeluarkan institusi kewangan haruslah menggunakan bahasa Melayu. Ini kita anggap akan berlaku pada peringkat seterusnya. Kalau nak  terus tukar borang tapi tak ada kesedaran, tak boleh juga. Perlahan-perlahan.
 

Sektor kewangan adalah antara agensi yang kita audit yang mana juruaudit DBP akan masuk dan melihat dokumen rasmi mereka seperti surat menyurat, memo, segala urusan dalaman, bagi melihat sama ada mereka menggunakan bahasa Melayu atau tidak. Bagaimanapun, sektor ini belum ada yang sampai ke tahap lima (dari segi pemarkahan yang mana dari satu hingga lima, dengan lima yang terbaik), tetapi dari segi penggunaan sudah ada dan kita cuba perkasakan. 

BH: Adakah markah itu memberi kesan?

Dr Zaharani: Sememangnya, kerana ia dilaporkan dalam mesyuarat induk Bulan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri. Katakan kalau sektor kewangan dapat markah rendah ia memberi kesan,  tambahan pula audit yang dibuat adalah laporan rasmi bertulis.  Selalunya sebelum audit, Ketua Pengarah DBP akan melakukan ziarah bahasa dengan melawat kementerian atau agensi  berkaitan, menerangkan dasar kerajaan dan peranan DBP. Apabila mereka bersetuju barulah kita audit. Kita perlu beri  masa untuk mereka bersedia. Kita juga audit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagaimanapun dengan sektor swasta  belum lagi walaupun cadangan sudah ada. Jabatan Pengembangan Bahasa DBP masih dalam  peringkat membuat hubungan dengan sektor swasta terhadap usaha ini. DBP melaksanakan pelbagai inisiatif memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan perbankan.

BH: Dalam soal kontrak dan perjanjian misalnya, ada yang merungut kerana ia banyak dalam bahasa Inggeris membuatkan pelanggan  tidak faham. Apakah peranan DBP dalam perkara ini?

Dr Zaharani: Perkara ini sudah lama DBP perjuangkan. Bagaimanapun, jika kita lihat surat perjanjian, ia adalah dalam bentuk  format yang standard, tetapi usaha penterjemahan itu yang tidak dibuat. Gesaan dan desakan sudah dibuat supaya  pelanggan dapat faham. Ini yang tidak dilakukan. Mereka tak mahu usaha lebih sikit. Jika dilihat usaha terjemahan ini sekali saja, contoh perjanjian perumahan, tetapi tidak ada usaha ke arah  itu. Nak paksa kita tak ada kuasa. kita cuma boleh mengingat, menasihat dan memujuk. 

BH: Bagi sektor swasta misalnya, mereka tak hendak guna kerana tak ada istilah atau apa?

Dr Zaharani: Kita sudah ada kira-kira sejuta istilah dalam semua sektor. Dari segi ini tidak ada masalah. Kita ada semua itu. Apa yang  kita lihat adalah sikap kerana tidak ada penguatkuasaaan. DBP hanya bertindak menegur. Kita misalnya, tak kenakan  penalti. Langkah kita adalah berdakwah yang mana bila kita pantau, audit, kita minta mereka menggunakan bahasa Melayu. Kalau  pegawai mereka tidak mahir bahasa Melayu, kita minta mereka hadiri kursus. Kita bantu dari segi itu.

Dalam PBT misalnya, untuk papan iklan perlu diluluskan DBP. Apa yang kita kata sebagai pengesahan iklan yang mesti  disahkan DBP. Tetapi masalahnya orang yang gantung papan iklan itu tak dapat kebenaran. PBT kata mereka sudah ronda,  tetapi hari ini diturunkan esok naik balik. Ini bermakna pengutkuasaan ada tetapi ada yang tak hiraukan. DBP tak  boleh nak kenakan denda atau tangkap. Bagaimanapun setakat ini kita nampak PBT sudah mula tegas.  

Kita sebenarnya bukan antibahasa Inggeris. Borang yang ada di bank misalnya, kalau ada nama di atas name, kita tak ada masalah. Kita faham bahasa Inggeris bahasa antarabangsa. Apa yang penting bahasa Melayu wajib ada, tetapi diletakkan di atas, tak ada masalah. Begitu juga  nombor akaun dengan account number, kita tak tegur kerana pada kita itu dah cukup baik. Bagaimanapun bila  tak ada perkara sebegini, pengguna ke bank dan tak nampak, mereka buat aduan ke DBP.

Disebabkan itu dalam hal sebegini kita babitkan BNM, pergi ke pucuk tertinggi. Bila ada arahan daripada BNM mereka akan  dengar. Jadi di situ ada hubungan, kita tak nak terjah saja. Dalam soal istilah kita buat dengan pengamal. Biar orang bank, misalnya yang cadangkan. Perkataan account contohnya, kita pakai akaun. Kenapa nak cipta istilah lain yang pelik, yang orang tak pakai. Tak perlu DBP mencipta istilah bagi pihak bank, mereka yang perlu cadangkan. Kita boleh jemput ahli akademik, tetapi mereka bukan pengamal. 

BH: Kalau kita lihat GST misalnya, ia adalah dalam bahasa Inggeris. DBP tak terbabit bila Kementerian Kewangan nak gunakan  akronim ini? 

Dr Zaharani: Pertama, kita tidak dirujuk. Kedua, bila perkara sudah mantap susah untuk diubah. Contoh ICT, kita ada TMK dalam  bahasa Melayu, tetapi apabila ia sudah digunakan sepenuhnya kita nak masuk jadi susah... orang dah selesa dengan ICT. Bila kita  buat TMK ia kurang laku. Tetapi usaha kita buat.  Begitu juga macam tagline IM4U, susah juga kita nak potong tengah jalan. Bagaimanapun, kita lihat perkara ini sudah  menjadi semacam satu istilah, satu konsep. Kita tak hendaklah, semua buat semua salah. Kita tak ambil pendekatan  sebegitu. Oleh kerana orang sudah guna benda sudah berlaku, nak betulkan ambil masa sedikit.

Bagaimanapun, contohnya PICC (Putrajaya International Convention Centre) sekarang dikenali sebagai Pusat Konvensyen  Antarabangsa Putrajaya. Ambil masa bertahun juga untuk kita minta ia ditukar. Ini menunjukkan usaha itu kita buat,  perlahan-lahan, akhirnya berjaya. Terbaru, contohnya kita sedang berkompromi dengan pemaju Bangsar South. Dari segi bahasa Inggeris tak  betul, begitu juga bahasa Melayu. Kita kata kenapa tak letak Bangsar Selatan di atas dan Bangsar South di bawah. Kita komporomi  bukan buang terus bahasa Inggeris. Ini yang kadang-kadang orang tak faham. Apa pun bahasa Melayu perlu didaulatkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.