KUMPULAN RAYYAN WAKILI NEGARA

 KUMPULAN NASYID: GALERI FOTO
FESTIVAL SENI BUDAYA ISLAM MABIMS 2006
Tarikh:           15-18 Disember 2006
Tempat:         Jakarta, Indonesia
Tema:            Kita Tingkatkan Ukhuwah Islamyah
 

KUMPULAN RAYYAN WAKILI NEGARA

KE FESTIVAL SENI BUDAYA ISLAM MABIMS
DI JAKARTA, INDONESIA

 

Oleh:  Hj. Abu Bakar bin Hj. Buyong
 

Jakarta, 15-18 Disember 2006 -  Satu program kesenian Islam yang  dinamakan Festival Exhibisi Seni Budaya Islam Negara-Negara Anggota MABIMSiaitu singkatan daripada Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura, telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Jakarta dengan tema “Kita Tingkatkan Ukhuwah Islamyah”.  Festival yang penuh warna-warni ini telah disertai oleh kesemua negara anggota MABIMS yang terdiri daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.  Festival yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Menteri Agama Republik Indonesia, Bapak Haji Muhammad Maftuh Basyuni, bertempat di Hotel Sahid Jaya, Jakarta.  Majlis ini juga turut dihadiri oleh Dirjen Bimas Islam Departemen Agama, Prof. Dr. H. Nasarauddin Umar, Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia Ustaz Tuan Ismail bin Tuan Abdullah yang mewakili TYT Duta Besar Malaysia di Indonesia, serta pegawai dan kakitangan kedutaan daripada Departemen Agama Republik Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia dan wakil-wakil duta negara-negara anggota.

 

 

Malam Gelar Seni Budaya Islam MABIMS, merupakan acara kemuncak yang telah diadakan pada hari kedua di Auditorium Besar, Stesen Utama Pusat Televisyen Republik Indonesia (TVRI) dan acara ini telah disiarkan secara langsung ke seluruh negara selama dua jam. Turut hadir pada malam tersebut  ialah wakil Menteri Agama Republik Indonesia, wakil-wakil Duta negara anggota dan ketua delegasi negara anggota MABIMS. Festival ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila setiap negara anggota menghantar kumpulan nasyid masing-masing untuk membuat persembahan dalam festival tersebut.  Malaysia telah diwakili oleh Kumpulan Nasyid RAYYAN DBP, yang dipimpin oleh Hj. Mahzan Manan dan diketuai oleh Hj. Abu Bakar bin Hj. Buyong. Kumpulan ini dianggotai oleh seramai lapan orang ahli iaitu Encik Razid Sahran, Encik Abdul Malek Abdullah, Encik Mohd. Fadzli Tajuid, Encik Yahya Hj. Abu Bakar, Encik Nasaruddin Nasir, Encik Mohd. Rizan Yusof, Encik ‘Azimin Daud dan Encik Mohd. Zamri Abdul Hamid. Kumpulan Rayyan merupakan Johan dan penerima hadiah bagi kategori Persembahan Terbaik dalam Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan 1427H/2006M anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dalam festival ini, Kumpulan Rayyan telah mempersembahkan dua buah lagu iaitu Ilmu Peradaban Ummah, ciptaan Hj. Mahzan Manan, manakala lirik oleh Hj. Wan Abdul Hamid Wan Teh,  dan Perjalanan, ciptaan Hj. Mahzan Manan, manakala liriknya pula ditulis oleh Hj. Abu Bakar b. Hj. Buyong. Persembahan kumpulan ini telah mendapat pujian dan tepukan bergemuruh daripada khalayak penonton. Sesungguhnya Malam Gelar Seni Budaya Islam MAIBMS berupaya menyatukan citra budaya serumpun di samping memartabatkan keindahan dan kehalusan seni budaya Islam itu sendiri. Hal ini dapat dilihat dalam bait-bait puisi dan lirik lagu yang disampaikan oleh setiap anggota delegasi yang memuji keagungan dan keindahan Yang Maha Esa dengan gaya persembahan yang menarik dan kreatif.

 

 

Dalam atur cara yang disediakan oleh pihak penganjur, Kumpulan Rayyan telah berpeluang mengunjungi Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan diiringi oleh wakil daripada Departemen Agama iaitu Bapak Drs. H. Kusnindar. Ketibaan delegasi ini telah disambut oleh Atase Agama Kedutaan Ustaz Tuan Ismail b. Tuan Abdullah, pegawai dan kakitangan kedutaan. Sepanjang sesi lawatan, Kumpulan Rayyan telah diberikan taklimat oleh Atase Agama Ustaz Tuan Ismail b. Tuan Abdullah tentang peranan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, khasnya Bahagian Agama dalam usaha menjalin hubungan yang baik antara kedua-dua negara khususnya yang berkaitan dengan hal-hal keagamaan. Lawatan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. 


Gabungan 4 delegasi iaitu Brunei Darusallam, Indonesia, Malaysia dan Singapura dalam acara pembukaan


Delegasi Malaysia (Rayyan)


Gambar kenangan bersama Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Ustaz Tuan Ismail Tuan Abdullah nombor 2 dari kiri barisan belakang


Misi kami telah berjaya......


Malam Gelar Seni Budaya Islam MABIMS, Lokasi TVRI siaran langsung seluruh negara


Persembahan lagu Ilmu Peradaban Ummah, Lokasi TVRI


Majlis Perasmian Festival Seni Budaya Islam di Hotel Sahid Jaya, Jakarta


Delegasi Indonesia


Bersama Atase Agama Ustaz Tuan Ismail Tuan Abdullah di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia


Lawatan rasmi ke Taman Seni, Jakarta turut sama pegawai pengiring Bapak Drs. H. Kusnindar daripada Departemen Agama Indonesia nombor 3 dari kiri


Persembahan lagu Perjalanan, Lokasi TVRI 


Kalau pun letih....senyumlah sedikit



Kemaskini pada 2016-11-17 14:21:42 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.