LAGU-LAGU RAKYAT SELURUH MALAYSIA


          LAGU-LAGU RAKYAT SELURUH MALAYSIA

 

Pengenalan

Projek Rakaman Lagu Rakyat yang dilaksanakan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka membuahkan hasil yang begitu lumayan kepada seluruh warga manusia terutama khalayak yang mencintai dunia kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu.

Projek yang bermula pada tahun 2000 ini, mengambil langkah yang proaktif dalam menyelidik dan mengumpulkan hampir keseluruhan lagu rakyat di seluruh negara. Lagu rakyat dalam laman web Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada khalayak yang mencintai dunia kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu dalam mengenali lagu-lagu rakyat yang masih kekal bertahan hingga ke hari ini.

Lagu-lagu rakyat adalah warisan bangsa yang perlu dipertahankan. Pada hari ini, lagu-lagu rakyat semakin dilupakan. Tidak mengejutkan satu hari nanti, lagu-lagu rakyat hanya akan tinggal sebagai sejarah sahaja jika tiada usaha untuk menghidupkan dan mempopularkan kembali lagu-lagu tersebut. Ini kerana lagu-lagu rakyat bukan sekadar menghibur tetapi ianya banyak mengandungi unsur-unsur didikan secara tidak langsung. Ini jelas dapat dilihat dalam seni kata lagu-lagunya.   Usaha yang dijalankan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka adalah dengan tujuan untuk memelihara kesenian berkenaan agar tidak terhapus begitu sahaja. Tujuan penyelidikan dan rakaman ini adalah untuk melahirkan satu buku bergambar koleksi lagu-lagu rakyat yang melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa Melayu.

Maklumat lagu rakyat dalam laman web ini memuatkan hampir keseluruhan lagu rakyat bagi kesemua negeri di Malaysia dan akan dimulakan dengan Perlis, Kedah dan lain-lain negeri hinggalah Sarawak dan Sabah. Namun, maklumat yang dipaparkan dalam laman web ini hanyalah ringkasan dan petikan daripada projek yang dilaksanakan bertujuan sebagai pengenalan kepada naskhah lengkap lagu-lagu rakyat seluruh Malaysia yang akan diterbitkan dan dipasarkan ke seluruh negara kelak.

Lagu-lagu Rakyat Perlis

Projek Rakaman Lagu-Lagu Rakyat Perlis telah digerakkan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 24 hingga 29 Julai 2000. Antara lagu-lagu rakyat Perlis yang masih kedapatan ialah HadrahBerendoiBeduan, dan Canggung. Keempat-empat bentuk lagu rakyat ini adalah  antara bentuk lagu rakyat yang popular pada suatu ketika dahulu. Tiap-tiap satunya mempunyai fungsi atau peranan yang tertentu dalam masyarakat.

Lagu-lagu Rakyat Kedah

Projek Rakaman Lagu-Lagu Rakyat Kedah dilaksanakan oleh Bahagian Kesusasteraan Tradisional pada 6 hingga 17 November 2000. Lagu-lagu rakyatnya dipersembahkan secara individu dan juga berkumpulan.

Tema lagu-lagunya berunsur didikan berkait rapat dengan persembahan keagamaan, misalnya lagu-lagu dalam BerendoiBurdahBerzanjiSelokaMek Mulung dan juga Berdikir. Unsur-unsur nasihat juga dapat dikesan dalam lagu-lagu rakyat yang dinyanyikan dalam bentuk persembahan individu seperti dalangWayang Kulit. Lagu-lagu lain seperti lagu Hadrah dan juga Ghazal Pati adalah lebih bertumpu kepada aspek hiburan semata-mata.

 

 



Kemaskini pada 2016-11-16 10:16:57 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.