Dewan Sastera September 2005

 

Daripada Editor
Kecemerlangan Ekspresi Kreatif

Surat Kepada Editor
Dewan Sastera Oh Dewan Sastera 
Sabar Bohar

Fizikal Dewan Sastera Tidak Sesuai
Daeng Ramliakil

Ujana Klasik
Bila Laut Bersuara
Hajah Latifah Hj. Mohd. Sabli

Cerpen
Cinta Nur Atikah
Amelia Hashim

Cinta Eupharates
Dahiri Saini

Keranamu Ambika
Alias Ismail

Matahari dan Karen
Anton Zakuan

Puisi Bulan Ini
Selamat Malam Kota Sahabat
Awang Abdullah

Ikhlas
Abizai

 DiRumah Ibu
Wilkunila ms

Puisi Perkahwinan
Mustafa Jusoh

Cinta Orang Nyanyuk
Solihin Osman

Di Padang Suci
Mabumaddin Shaiddin

Tukang Sihir
Onn Abdullah

Mistik Seismos
Jamaludin D.

Ada Waktunya Kita Harus Berdiam Diri
Wan Marzuki Wan Ramli

Si Pengasah Pisau
Ami Masra

Drama
Bangsawan Impian Syalaza (Bahagian Pertama)
d Ghouse Nasuruddin

Puisi Pilihan
Roslan Jomel

Karyawan Bulan Ini 
Roslan Jomel

Roslan Jomel yang Samar Lewat Kilauan Karyanya
Hajijah Jais

Reaksi 
Mengapakah Air Mata Gugur di Tanjung Pia?
Nisah Haji Haron

Analisis
Pelarian dan Pelepasan Emosi Penyair
Abdul Halim Ali

Menyerlahkan Wajah Hodoh Pemimpin dan Kemanusiaan
Jeniri Amir

Fokus
Erti Kesusasteraan kepada Kehidupan Manusia
Sohaimi Abdul Aziz

Makna Sastera dalam  pendidikan Latihan Perguruan
Mahaya Mohd. Yassin

Monolog Kecil
Rindu dan Patriotisme
Baha Zain

Spektrum
Padamnya Tiga Lampu Spot
Noordin Hassan

Pabila Hujan Turun
 Kisah Bangsa yang Kerdil Sahnon Ahmad

Daripada Jabatan Sastera
Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Cendikia dan Ceria
Hajijah Jais

Sastera Antarabangsa
Mendekati Lana Derkac Sasterawan Croatia
Ahmad kamal Abdullah

Sorotan
Wacana Minda Tokoh Budaya dan Persuratan
Rusdi Abd. Rahman

Komitmen Kerajaan Johor Padu Memartabatkan Sastera
Rusdi Abd. Rahman

Ulasan Buku 
Mendekati Kesusasteraani 
Iga
 Kasih itu Kesabaran
Surat-surat Perempuan Johor

Khabar Orang Di Sana
Gelumbang Rayeuk - Tsunami (111)
Siti Zainon Ismail

Wawancara
"Saya Tidak Boleh Menulis Lagi" 
Rozninah Abd. Azib

Selingkar Bundaran Kata
 Sastera dan Pedagogi
Muhammad Haji Salleh

Bicara Karya
Lentera Kebijaksanaan Mistik: Di Kebun Khatulistiwa
Arbak Othman

Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan
Mohamad Saleeh Rahamad

DARIPADA EDITOR

Kecemerlangan Ekspresi Kreatif


Dewan Sastera keluaran September memfokuskan isu sejauh manakah sastera itu memberikan erti kepada kehidupan manusia. Dengan melihat sastera secara positif barulah dapat dinilai manfaat sastera itu kepada masyarakat dan individu yang terlibat dalam sastera itu sendiri. Sebagai penulis contohnya, hasil kerja mereka dibaca selain dinilai dan diberikan penghargaan. Seringkali kita melihat penulis atau penggiat seni, sastera dan budaya, diberikan penghargaan dalam bentuk anugerah wang ringgit dan sebagainya berbanding dengan profesion lain. 
   Umpamanya alam Malam Anugerah Budayawan Selangor 2005 baru-baru ini telah menyaksikan beberapa orang seni, sastera, dan budaya telah diberikan pengiktirafan kerana sumbangan mereka dalam bidang masing-masing. Kemala atau nama sebenarnya Dato’ Ahmad Kamal Abdullah dianugerahi Anugerah Sastera Negeri Selangor 2005, manakala  Anugerah Sastera Penulisan dianugerahkan kepada Datuk Dr. Anwar Ridhwan bagi ketegori novel dan cerpen, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail bagi kategori puisi, Profesor Dr. Sahlan Mohd. Saman bagi kategori esei, Allahyarham Bidin Subari bagi kategori skrip drama dan Hadiah Khas Panel Sastera untuk Datuk Abdul Samad Maharudin. Enam anugerah bagi kategori sastera dalam 11 kategori anugerah hadiah itu  membuktikan bahawa “penggiat sastera” masih dipandang dan dikenang jasanya. Seni dan sastera tetap menjadi salah satu cabang kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan dan masyarakat, malah termasuk dalam perancangan pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT). 
   Shubungannya dengan hal itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menjelaskan bahawa melalui Fakulti Seni Persembahan, institusi ini akan menawarkan program-program diploma dan ijazah dalam bidang skrin, teater dan muzik yang menjadi sebahagian daripada cabang sastera. Malah, dalam rancangan masa hadapan, universiti tersebut mencadangkan penubuhan Pusat Kecemerlangan yang mungkin akan dinamakan Pusat Integrasi Wawasan, Fakulti Seni Persembahan. Pusat ini dirancang akan menjadi sebuah pusat yang mengkhusus dalam bidang budaya dan seni tradisional, muzik, bengkel dan kursus seni dan sastera. 
    Persediaan kearah melahirkan masyarakat berpendidikan yang seimbang dari segi nilai seni dan sastera ini akan melahirkan graduan yang liberal, mengimbangi pembangunan industri dengan nilai-nilai kemanusiaan agar masyarakat Malaysia dapat menikmati keindahan hidup yang seimbang. Seterusnya membawa Malaysia ke pentas dunia yang cemerlang melalui kecemerlangan ekspresi kreatif bertaraf dunia.
        

Rozninah Abd. Azib


 

 

FOKUS 

ERTI KESUSASTERAAN KEPADA KEHIDUPAN MANUSIA 

SOHAIMI ABDUL AZIZ

Apabila kita memperkatakan kesusasteraan, hal itu tidak dapat dipisahkan daripada manusia dan masyarakat. Berertinya sastera kerana adanya hubungan ini. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat daripada dua pandangan, iaitu pandangan yang lama dan yang baharu, sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya. Sastera juga berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya dan keadaan ini memberikan kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.
   Dalam masyarakat yang berasaskan sains dan teknologi seperti Malaysia, kehadiran sastera masih sangat bererti. Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan satu unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt (1999) yang mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna. Sehubungan dengan itu, Naisbitt menyarankan manusia agar mencari teknologi yang memelihara kemanusiaan dan menolak teknologi yang merosakkan atau mengganggu kemanusiaan. Beliau menyarankan manusia melihat seni, cerita, drama, agama, alam semula jadi, dan masa sebagai aspek yang penting. Yang disebutkannya sebagai high touch itu perlu sangat kepada kehidupan manusia yang mementingkan sains dan teknologi. Di sini nyata sastera dapat dikelaskan sebagai high touch yang perlu dalam kehidupan masyarakat maju, seperti masyarakat di Malaysia. Bagaimanakah sastera dapat bererti sebagai high touch seperti yang dimaksudkan oleh Naisbitt?
 Sastera bukan sekadar bahan bacaan, tetapi lebih daripada itu. Shahnon Ahmad (1991) menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari. Bagi Shahnon, sastera sangat diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera, masyarakat juga dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaik kehidupan mereka. Aristotle meletakkan sastera lebih utama berbanding dengan sejarah kerana sastera dapat meramalkan masa hadapan masyarakat itu. Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya. Menurut A. Samad Said (1998), melalui sastera ditemui unsur moral, keindahan, hati nurani, keadilan, ketakwaan, kebijaksanaan, dan tazkiyah dan disampaikan secara sederhana, tetapi amat berkesan di jiwa. Usman Awang (1995) menulis bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas.
 Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera. Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca. Unsur denotasi dan konotasi membawa bahasa sastera ke lembah ketaksaan dan ketaksaan ini mengundang pentafsiran yang memberikan ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi dan korelasi bagi mendapat satu mesej mental dan imej ini muncul bersama dengan rangsangan emosi. Ekoran itu, pembaca menikmati satu pengalaman estetik yang memberikan nikmat yang tersendiri.
 Melalui bahasa, sastera dikarang dan digubah menjadi seni yang indah. Melalui bahasa yang terpilih, sastera menggambarkan kehidupan manusia yang halus dan dipersembahkan secara yang paling indah. Mengikut Ali Ahmad (1994), sudah menjadi fitrah manusia mempunyai jiwa yang halus, sama ada pengarang ataupun pembaca. Maka, sastera menjadi bererti kerana pengarang dan pembaca diikat oleh pembentukan jiwa yang sama yang suka kepada keindahan. Keindahan sastera datang dari pelbagai sisi; perihal kehidupan, imaginasi, kreativiti, perasaan, dan penggunaan bahasa yang dimungkinkan dengan pelbagai cara. Keburukan, kebobrokan, dan kejelekan yang digambarkan oleh sastera tetap indah melalui bahasa yang terpilih. Apatah lagi apabila sastera itu menggambarkan yang indah, baik, suci, dan romantis.
 Selain keindahan, sastera mengandungi falsafah tentang kehidupan. Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya.
 Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukan sangat hanya itu cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya. Mengikut Milan Kundera (2002), sastera (novel) hanya akan tidak bererti (mati) apabila sastera itu dipisahkan daripada persekitarannya. Dengan kata lain, sastera dan keperihalan manusia dan masyarakat tidak boleh dipisahkan. Keperihalan itu pula melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian oleh pengarang dan keadaan ini menghasilkan pandang alam tentang manusia dan masyarakatnya dan pandang alam ini menjadi daya penarik kepada sastera dan membawa erti kepada  pembacanya. Pembaca tidak mampu memperoleh semua pengalaman manusia dan sastera mampu memberikannya.
 Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera, tetapi masih relevan erti sastera kepada kehidupan manusia. Mengikut Muhammad Haji Salleh (1988), puisi mampu membijaksanakan pembaca. Puisi boleh memberi pembaca cahaya kepada kegelapan. Kebijaksanaan ini memperlihatkan kekuatan sastera untuk merangsang pembaca berfikir tentang diri dan persekitarannya. Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan dan sastera bererti kerana memiliki kemampuan ini.
 Sastera pernah menjadi wahana menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat Melayu pada tahun 1930-an. Sastera digunakan untuk menanamkan semangat cinta kepada tanah air, menyuburkan semangat patriotik, menggalakkan perkembangan semangat cinta akan bahasa dan kebudayaan sendiri, memperlihatkan keburukan pemerintahan penjajah yang tidak jujur, dan membentuk semangat perpaduan. Lahir sasterawan seperti Harun Aminurrasyid (Melor Kuala Lumpur), Ahmad Bakhtiar (Korban Keris Melaka), Shamsuddin Salleh (Pemimpin Sulit), dan Ishak Haji Muhammad (Anak Mat Lela Gila). Hari ini sastera masih bererti untuk menyemarakkan semangat itu apabila kita dapati bahawa masih banyak sasterawan yang menghasilkan sajak yang berkaitan dengan kemerdekaan. Lebih menarik, lahir karya sastera yang mengajak pembaca mengisi ...

 

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera September 2005. Kini di pasaran... dapatkan segera!

  Arkib

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dalam talian sila layari . Untuk melanggan sila layari 

 

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                             Tarikh kemaskini: 20 Oktober 2005. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal Maklumat: Puan Rohaya Yusof ,Bahagian Majalah.  


Kemaskini pada 2017-03-16 16:04:39 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.