Dewan Sastera Ogos 2005

 

Daripada Editor
Bahasa Inggeris yang Membayangi Kita

Surat Kepada Editor
Media Berperanan Menghebahkan Sastera
Md. Ishak A. Rahman

Ujana Klasik
Syair Malaysia Makmur
Khadijah Hashim.

Cerpen
Kebarangkalian 
Sharif Putera.

Bukan Dendam
Osman Ayob

Adik Benci Syaron
 Osman Dol

Aku Bukan Pak si Bendul
 Muhd. Mansur Abdullah

Puisi Bulan Ini
Memohon Ketelusan Diri
Wan Asyeah Wan Nawang

Soneta Luka
Onn Abdullah

 Ada Ya ada
 Nahmar Jamil

Jadi Orang KL
Saiee Driss

Kuhirup Wangi-wangian
Aladin Mohamad

Meniti Embun
Nordin Saad

Selaut Pandang
Wan Ahmad Ismail

Ratap Isteri
Mahanie Sulung

Biadapkah Hamba
Ria Asmira

Drama
Hering (Bahagian Akhir)
A. Wahab Hamzah

Puisi Pilihan
Darma Mohammad

Bicara Karya
Dunia di Mana Buluh Menyuling Lagu Merdu
Victor A.Pogadaev

Arca dan Merentas Sungai Sejarah: Manifestasi Pembangunan Negara Bangsa
Misran Rokimin

Fokus
Dilema Penulis Fiksyen Inggeris Tempatan
Nisah Haji Haron

Debaran Hadiah Penulis Komanwel untuk Malaysia
Awang Azman Awang Pawi

Ulasan Buku 
Pascakolonialisme dalam Pemikiran Melayu

Kesan dan Penghayatan Novel Sejarah Tengku Menteri

Di Kebun Khatulistiwa
 

Politik dalam Novel

Monolog Kecil
Memoir: Dialog Narator Pengarang dengan Pembaca
Baha Zain

Pabila Hujan Turun
 Ingatanku pada Ranjau Sepanjang Jalan
Shahnon Ahmad

Tabir Hayat
 Perginya Tiga Tokoh Persuratan
A.F. Yassin

Reaksi 
Bicara Hujan dan Sungai Shahnon yang Mengharukan
Abdul Samad Abdul Hakim

Sorotan
Cita dan Citra di Hujung Benua
Ritah Yahaya

Pertandingan Lagu Puisi Berkumpulan Negeri Melaka 2005
Rusdi Abd. Rahman

Gema Harapan
Suara Hati Seorang Sasterawan
Arena Wati

Daripada Jabatan Sastera
Program Kembara Sastera Memartabatkan Karya Sastera
Rohaya Harith

Khabar Orang Di Sana
Perjalanan Gelumbang Rayeuk 2t 
Siti Zainon Ismail

Spektrum 
Berdakwah Melalui Teater
Noordin Hassan

Analisis Cerpen
Kecenderungan dan Aliran Pengarang
Mana Sikana

Selingkar Bundaran Kata
 Kenyataan di Luar Batas: Penulis Nusantara dan Amerika Latin
Muhammad Haji Salleh

Karyawan Bulan Ini 
Darma Masih Belum Berhenti Menulis
Wan A. Rafar

Analisis Puisi 
Desakan Teks Mengukur Status Kualiti Puisi
Arbak Othman

Sastera Antarabangsa
Roy Mengkritik Manusia Besar dalam Teh God of Small Things
Nagesvari Paramasivan

DARIPADA EDITOR

Bahasa Inggeris yang Membayangi Kita

Kehadiran sekelompok penulis fiksyen Malaysia yang menulis dalam bahasa Inggeris hampir-hampir tidak disedari oleh kebanyakan peminat sastera tanah air. Bahkan, mereka yang menulis karya asli mereka dalam pelbagai genre sastera tanah air dalam bahasa Inggeris juga berasa diri mereka bagaikan dipinggirkan, karya mereka tidak dibaca oleh rakyat Malaysia sendiri, khususnya bagi mereka yang tidak begitu menguasai bahasa Inggeris. Karya mereka juga tidak dinilai untuk sebarang anugerah tempatan, sedangkan sumbangan mereka dalam mewarnakan persuratan Melayu yang berwajah Malaysiana tidak dapat diketepikan langsung sepatutnya.
   Dewan Sastera Ogos 2005, memfokuskan isu ini bagi melihat permasalahan mereka dan melihat sejauh mana masa hadapan mereka. Dalam rangka kempen Malaysia untuk menjadikan “Dunia Melayu” sebagai tema atau tamu kehormat bagi Pameran Buku Antarabangsa Frankfurt, di Jerman, selepas 2007, seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Baharuddin Zainal dalam ucap utamanya di majlis Perhimpunan Penulis Muda Nasional baru-baru ini tentunya dapat membuka ruang dan nafas baharu kepada penulis yang menulis dalam bahasa Inggeris, sama ada dalam bidang kreatif atau bukan kreatif.
   Peluang yang dibuka oleh Utusan Melayu dengan mewujudkan hadiah sasteranya yang menilai dan mengiktirafkan karya yang ditulis dalam bahasa Inggeris oleh penulis Malaysia juga merupakan suatu permulaan yang cukup baik bagi mereka. Mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa karya berbahasa Inggeris, sama ada karya asli atau terjemahan, amat penting bagi mengantarabangsakan karya kita, khususnya untuk kajian sastera bandingan. Dengan adanya karya terjemahan ke dalam bahasa Inggeris, barulah misalnya karya A. Samad Said, Salina, boleh dibuatkan kajian bandingan dengan karya Gustave Falubert yang berjudul L`education Sentimentale yang telah dilakukan oleh Laurent Metzger.
   Biarpun kita sudah lama merdeka, pengaruh bahasa Inggeris yang ditinggalkan oleh penjajah itu masih hidup bersama-sama kemerdekaan kita. Namun demikian itu bukan bermakna kita masih dijajah. Hal ini adalah kerana kita menggunakan bahasa penjajah itu sebagai alat untuk menyebarkan sastera, budaya dan pemikiran bangsa kita.

 


 

 

FOKUS 

DILEMA PENULIS FIKSYEN INGGERIS TEMPATAN

NISAH HAJI HARON

PENGENALAN
MENYOROT perkembangan penulis fiksyen berbahasa Inggeris tempatan hari ini menjadi tidak lengkap sekiranya sejarahnya tidak dicungkil kembali. Faktor bahasa dan juga kolonialisme telah menyebabkan pertumbuhan yang rancak sekitar zaman pramerdeka hinggalah peringkat awal pascamerdeka. 
   Agak sukar untuk membuat dikotomi antara penulis fiksyen dan non-fiksyen dalam bahasa apa sekalipun. Apatah lagi penulis jarang bertumpu hanya pada satu genre penulisan. Tidak dinafikan penulis fiksyen juga turut terlibat sama dalam menyumbang tulisan dan buah fikiran melalui karya non-fiksyen. Walau bagaimanapun, bagi tujuan rencana ini, tumpuan diberikan kepada penulis fiksyen berbahasa Inggeris sahaja, termasuklah genre cerpen, puisi dan juga penulisan skrip drama.

SEJARAH
Menurut K.S. Maniam  dalam tulisannya The New Diaspora, beliau merujuk kepada tiga zaman yang penting dalam sejarah tanah air. Sejarah yang terbentuk dalam ketiga-tiga zaman ini mewujudkan kelompok penulis yang mempunyai pendekatan yang agak berbeza. Zaman yang dimaksudkan ialah zaman selepas Perang Dunia Kedua, zaman pascamerdeka dan zaman di antara tahun 1970 hingga sekarang. 
  Beliau turut menyifatkan zaman selepas Perang Dunia Kedua sebagai tempoh penuh traumatik bagi rakyat negara ini. Penjajahan Jepun memberi kesan kepada proses pencarian semula potensi diri yang telah dilemahkan oleh penjajahan. 
   Period kedua pula merupakan satu tempoh penubuhan sebuah negara yang baru lahir serta proses pencarian identiti negara di samping pembentukan negara pelbagai bangsa. 
  Manakala zaman yang ketiga pula ialah suatu tempoh apabila rakyat Malaysia diberi peluang sama ada untuk memperkukuhkan jati diri pada akar budaya bangsa masing-masing ataupun keluar daripada kepompong etnik dan mencari hala tuju di peringkat global. 
   Kewujudan budaya imigran terutama sekali Baba Melaka dikatakan sebagai kumpulan yang terawal menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan kreatif di Tanah Melayu.  Beberapa percubaan menulis puisi dalam bahasa Inggeris bermula pada akhir tahun 40-an. 
  Seorang penyair besar Singapura, Edwin Thumboo melihat perkembangan sastera ini “while literature in Chinese worked on ethnic themes which kept alive associations with the parent country, and Malay literature pursued a nationalist policy, English offered itself as a liberating possibility.  (apabila sastera bagi kaum Cina bergerak sekitar tema yang bersifat etnik dengan mengaitkan hubungan dengan negeri China, sementara sastera Melayu pula menegakkan polisi nasionalis, sastera Inggeris dilihat menawarkan satu peluang untuk membebaskan diri daripada kedua-duanya.)
   Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh yang terlibat secara langsung dalam kedua-dua dunia sastera Inggeris dan Melayu di Malaysia, turut berpendapat bahawa sejarah penjajahan Tanah Melayu pada ketika itu banyak memberi kesan kepada perkembangan penulisan sastera Inggeris tempatan. 
  Tidak dapat dinafikan bahawa persoalan bahasa pada awal tahun-tahun 50-an dan 60-an masih lagi kuat dipengaruhi Inggeris. Fenomena dan dasar pendidikan pada ketika itu memungkinkan ramai pelajar terutamanya, menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah menjadi pemangkin kepada kelahiran penulis-penulis sastera Inggeris. 
Nama-nama besar seperti Ee Tiang Hong, Edwin Thumboo, Muhammad Haji Salleh, Shirley Lim, K.S. Maniam, dan Wong Phui Nam membina tapak dunia penulisan sastera Inggeris mereka pada sekitar zaman ini. 
Walau bagaimanapun, penulis fiksyen Inggeris ini seperti bermain-main di halaman rumah sendiri. Pada ketika ini masih wujud semacam jurang antara penulis sastera Melayu berbanding sastera Inggeris meskipun dengan cara yang tidak nyata. 
   Peristiwa 13 Mei 1969, memaksa negara yang masih baru ini segera membentuk perpaduan. Bahasa dilihat sebagai elemen sangat penting yang boleh menyatukan semua kaum di Tanah Melayu. Kelahiran nasionalisme pula dilihat seperti memberi satu bentuk definisi kepada kedudukan kaum. Kaum bukan bumiputera kini harus bekerjasama dengan penduduk peribumi untuk membawa negara ke arah merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu. 
Penekanan aspek bahasa sebagai penyatu semua kaum, Dasar Bahasa Kebangsaan dan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” telah diserapkan bukan sekadar dalam surat rasmi kerajaan, penyiaran di radio dan televisyen malah sehinggalah ke sekolah-sekolah. 
Hasilnya wujudlah generasi hari ini yang dibesarkan dengan Bahasa Melayu dan secara tidak langsung golongan yang menulis dalam Bahasa Inggeris semakin kurang mendapat tempat yang utama dalam agenda negara. 
Namun ada sesetengah pihak yang tidak dapat menerima penerapan dasar negara yang baru pada waktu tersebut. Ini termasuklah beberapa kelompok penulis sastera Inggeris yang selama ini bergelumang dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Perubahan ini dirasakan agak mendadak dan menerima pelbagai reaksi. 
Eddie Tay pernah menyebut dalam tulisan beliau yang berjudul Unsettling Ways of Exile : The Unhomely in the Poetry of Wong Phui Nam  bahawa penyair Wong Phui Nam dilihat melalui satu tempoh pengasingan minda (The Exile of the Mind) dalam tempoh tersebut.. 
   Terdapat beberapa bentuk pengasingan iaitu penulis ataupun intelektual tempatan yang merasa terasing dalam negara sendiri sama ada kerana latar sejarah, bahasa ataupun pendidikan.
Pengasingan minda ini dihadapi oleh Wong Phui Nam apabila keturunan keluarganya merupakan diaspora Cina; dalam masa yang sama beliau merupakan produk pendidikan kolonial yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Secara tidak langsung, penyair seperti beliau terpinggir oleh ideologi politik Malaysia yang dominan dalam menentukan hala tuju sebuah negara. 
   Namun demikian, Wong Phui Nam memilih untuk tidak meninggalkan negara dan terus berkarya di Malaysia. Beliau tidak mengikut jejak, misalnya Shirley Lim (kini di Universiti of California, Santa Barbara) yang meninggalkan Melaka selepas 13 Mei 1969 dan mendiang Ee Tiang Hong yang berhijrah ke Perth pada tahun 1975.
Reaksi Ee berbunyi : “The fact that there have been many and different orders of tradition in Malaysia, each with its own distinctive roots, and several roots have tangled and intertwined for generations. It was a political decision which determined which root should be nurtured, and which pulled out.” (Oleh kerana terdapat tradisi yang berbeza-beza di Malaysia, masing-masing mempunyai akar budaya tersendiri dan ada antara akar tersebut seakan-akan terbelit sesama sendiri hingga ke beberapa generasi. Keputusan politiklah yang menentukan akar mana yang perlu dipelihara dan akar mana yang perlu dicabut keluar.)
Lontaran rasa Ee terasa seperti ada nada rajuk yang tidak berkesudahan di kalangan penulis sastera Inggeris pada ketika itu. Beliau merujuk kepada keputusan politik yang mengangkat satu komuniti sastera berbanding yang lain atas nama nasionalisme. ..

 

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera Ogos 2005. Kini di pasaran... dapatkan segera!

  Arkib

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dalam talian sila layari . Untuk melanggan sila layari 

 

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                             Tarikh kemaskini: 20 Oktober 2005. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal Maklumat: Puan Rohaya Yusof ,Bahagian Majalah.  


Kemaskini pada 2017-03-16 16:05:12 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.