Dewan Sastera Januari 2005

 

 

 

Januari  2005
   Zulkaedah - Zulhijah  1425
      Jilid 35 Bil. 01   KK 800-90435-0105
ISSN 0126-5059

 

Daripada Editor
Keamanan dan Kesusasteraan

Surat Kepada Editor
Sastera Semakin Tenat dan Terpinggir
Soh Hai Lee

Melakar Makna di Tinta Kebenaran
Samhani Ismail

UJANA KLASIK
Pantun Jimat Cermat
Kamariah Omar

Cerpen
Rudra Avatara
Uthaya Sankar SB

Yang Ditinggalkannya 
Nafsiah Bubin

Tuah Meon di Atas Bukit
Kassim Mahmud

Tugoo
Sitti Rahmah G. Ibrahim

Drama  
Bangsawan Pata Sang Putera Santubong Sang Puteri
Abang Patdeli bin Abang Muhi

Puisi Bulan Ini
 Pada Jelita Malam Kumencarimu
Jamaludin D.

Hati Naga
A.B.M. Fajeer

Sepasang Kupu-kupu 
M. Ashikin

Sebab
A.Ghani Abdullah

Kisah Sehelai Daun
 Rahimah Hj. A. Hamid

Dari Rusuk Pemerhatian  
Wadi Leta S.A.

Wajah Senja Gerhana Kau di Mana
Mohd. Noor bin Hamzah

Pagi di Luar Tingkap
Jair Sulai

 E-mel  
Mohd. Amran Daud

Puisi Pilihan 
Sahmad Malaya

Karyawan Bulan Ini 
Sahmad Malaya

DPMP ialah Abah dan Abah ialah DPMP
Mohd. Mansur Abdullah

Kajian
Daripada Karya kepada Pentas dan Sinematografi: Hanya Persoalan Interpretasi Semula 
 Rozninah Abd. Azib

Fokus
Sasterawan Berwasan Negara Bangsa Gemilang 
A. Aziz Deraman

Sastera dan Nergara
Abdullah Hussain

Perpaduan dalam Sastera dan Sastera Perpaduan 
Anwar Ridhwan

Penulisan Malaysia di Pentas Antarabangsa
Muhammad Haji Salleh

Sorotan Buku 
Ombak di Tengah Daratan  
Malam Kemerdekaan 
Bisik Pada Angin 
Impian dalm Biru Muda

Sastera Antarabangsa
Penulis Malaysia untuk Anugerah Kiriyama? 
Faisal Tehrani

Albert Camus: Terasing dan Absurd
Jeniri Amir

Bicara Karya
Arjuna Hati Merentasi Zaman dan Geografi  
Amida Abdulhamid

Hans F. Overbeck: Gigih Mengumpul Pantun di Alam Melayu
Mohamad Shahidan

Gema Harapan
Calon Jantan
Arena Wati

Pabila Hujan Turun
Dongeng Hujan 
Shahnon Ahmad

Nurani Seni
Sastera Boleh Berhenti Dulu 
A. Samad Said

Analisis
Impian dan Harapan Sang Pengarang
Mana Sikana

Mencari Makna dalam Puisi: Aplikasi Kod Bahasa 
Arba 'ie Sujud 

 

Karyawan Bulan Ini SAHMAD MALAYA

DARIPADA EDITOR

Keamanan dan Kesusasteraan

ASIA TENGGARA  kini diancam oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya. Kenyataan Perdana Menteri Australia dalam pilihan raya umum yang lalu semakin membimbangkan.  John Howard menjadikan isu menyerang negara-negara jiran di Asia Tenggara  sebagai agenda utama. Sikap provokatif Australia itu tentunya menimbulkan ketegangan kepada Malaysia dan Indonesia yang didiami majoritinya penduduk yang beragama Islam. 
   Tindakan Perdana Menteri kita Datuk Seri Abdullah Badawi mengatasi masalah ini dengan cara diplomasi adalah suatu tindakan yang bijak dan selamat. Apalah gunanya kita berkeras dengan mereka, �bagai menentang matahari� kerana selagi kita mentimun dan mereka umpama durian, bergolek ke atas atau ke bawah, mentimun juga yang menjadi mangsanya. Biarpun usaha untuk berbaik sangka dan bersatu dengan mereka, �bagai mengepal pasir kering�, tidaklah bermakna kita harus menjadi �bagai pucuk ru, di mana ditiup angin di situlah melenturnya�.
  Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka kita harus mempunyai pendirian sendiri yang teguh yang tidak boleh diganggu gugat. Setiap masalah dengan negara luar hendaklah diatasi dengan cermat, �bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak�.
   Malaysia sehingga kini alhamdulillah, masih aman lagi jika dibandingkan dengan negara-negara jiran yang lain. Hanya dengan kestabilan politik  negara, barulah kejayaan dalam bidang lain dapat kita bina dan jalinkan. Negara yang aman damai lebih mudah menarik minat negara asing mengkaji ketamadunan budaya bangsanya. Kesusasteraan merupakan salah satu bidang yang boleh diketengahkan sebagai alat bagi menjalinkan hubungan kebudayaan dan keilmuan dengan negara luar. 
  Menjadi tugas kita kini membawa hala tuju sastera kita kepada wawasan yang lebih perkasa kerana sastera yang berwawasan melambangkan bangsanya yang gemilang. Sempena pembukaan Jendela 2005, Dewan Sastera ingin melihat hala tuju sastera tanah air dan strategi yang perlu dilakukan bagi menjamin sastera Malaysia berada di mercunya, �berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah� dengan mereka, negara kuasa besar.

Sidang Editor Dewan Sastera mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2005.
                       Rozninah Abd. Azib  


  

 

 

 

 

FOKUS

Sasterawan Berwawasan Negara Bangsa Gemilang

Oleh A. AZIZ DERAMAN


SEBAHAGIAN besar sarjana kesusasteraan Melayu menerima bahawa Abdullah Munsyi (1796-1854) sebagai tokoh pembaharu kesusasteraan Melayu, biarpun ada sarjana yang mempertahankan nama Hamzah Fansuri sebagai tokoh tersebut. Melalui Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi telah dikatakan membawa pembaharuan penting terhadap kesusasteraan Melayu, pada pertengahan abad ke-19, dari segi isi dan bentuk. 
   Dunia hikayat yang berlatarbelakangkan alam dewa dewi dan raja-raja berubah kepada latar belakang masyarakat yang berjejak di bumi nyata. Abdullah Munsyi yang hidup  di Negeri-negeri Selat (Melaka dan Singapura) terpengaruh kepada bentuk sastera yang dekat dengan masyarakat Eropah dan majmuk sifatnya. Beliau melihat realiti masyarakat dan mengkritik unsur-unsur kezaliman raja-raja Melayu.  
  Ada pihak yang meletakkan Abdullah Munsyi sebagai tokoh yang pro Barat. Sungguhpun begitu, pada hakikatnya perubahan yang beliau bawa itu telah membawa perubahan kepada proses pengkaryaan sastera Melayu dan karya-karyanya menjadi garis pemisah antara sastera lama dengan sastera baharu. Kesan kritikan sosial melalui sastera ikut membuka minda bahasa Melayu. 
Hamzah Fansuri pula dikatakan pelopor sastera moden dengan membawa pemikiran baharu dan gerak intelektual. Keintelektualan dan rasionalisme merupakan suatu tuntutan dalam tradisi Islam. Peranan sastera kitab hasil karya para ulama dan penulis zaman silam juga sangat besar. Di serata wilayah Melayu dari Kelantan, Pattani, Palembang, Banjar, dan hingga ke Mataram, sastera kitab membawa pengaruh dan perubahan minda yang ketara. 
   Sumbangan sastera terhadap pembinaan bangsa tidak boleh dipandang kecil. Sastera Melayu, hatta melalui cerita-cerita penglipur lara sekalipun, tetap membawa iktibar dan tunjuk ajar kepada masyarakat pendengarnya. Sastera lisan terus dikembangkan kepada masyarakat melalui, persembahan dan penceritaan cerita-cerita penglipur lara oleh Tuk Selampit. Pantun terus hidup dalam upacara dan adat istiadat kemelayuan, seperti meminang dan perkahwinan  sehingga sekarang.
   Pembaharuan atau pemodenan kesusasteraan Melayu menjadi bertambah jelas pada awal abad ke-20. Perkembangan baharu dalam bidang bahasa dan sastera ini telah memesatkan lagi alam persuratan Melayu. Bentuk-bentuk sastera Barat seperti novel, cerpen, drama, sajak, esei, dan kritik sastera telah diperkenalkan di dunia Melayu atau Nusantara. Bentuk-bentuk itu kian popular dan telah menjadi sebahagian daripada alat ekspresi bangsa serumpun Melayu. Keadaan ini mengukuhkan lagi bahasa Melayu sebagai bahasa sastera dan diperteguhkan dengan cita-cita dan perkembangan baharunya di peringkat rantau ke arah memajukannya sebagai bahasa moden. 
   Kemunculan genre novel pada tahun 1920-an seperti Faridah Hanum (Syed Sheikh Al-Hadi), Kawan Benar (Ahmad Rashid Talu), dan Hikayat Percintaan Kasih Kemudahan (Ahmat Kotot), juga kemunculan genre cerpen pada dekad yang sama, iaitu �Kecelakaan Pemalas� oleh Nor Ibrahim (1920) dan puisi pada tahun 1913 (�Angan-angan dengan Gurindam� oleh Omar Mustaffa), menandakan kesedaran pada wujudnya dunia nyata dalam karya kesusasteraan Melayu. 
   Di Indonesia dalam tempoh yang sama munculnya karya-karya Merari Siregar, Marah Rusli, Abdul Moeis, Achdiat K Mihardja, Hamka, dan Sultan Takdir Alisjahbana yang mengambil pelbagai tema tentang perjuangan sosial, adat, agama, kezaliman, kemiskinan, dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Novel-novel Azab dan Sengsara, Salah Asuhan, Siti Nurbaya, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah, dan sebagainya itu memang meluas pembacaannya di Indonesia dan Malaysia. 
   Malaysia dan Indonesia saling berkongsi hasil-hasil kesusasteraan dan pemikiran bangsa. Hasil sastera lama yang mewakili zaman lampau, alam dewa dewi dan raja-raja, mulai ditinggalkan. Masyarakat yang sudah terdedah kepada berita-berita semasa melalui akhbar dan majalah, tidak berminat lagi kepada alam fantasi. Pada masa yang sama perkembangan percetakan di Pulau Pinang, Singapura, Kota Baharu, dan di beberapa kota lain cukup memberi ruang kepada penerbitan akhbar, majalah, buku, dan kitab.
    Pada era 1950-an, kesusasteraan Melayu menemukan bentuk moden yang lebih meyakinkan. Karya-karya sastera yang dicipta oleh golongan sasterawan pada era ASAS 50 di Singapura, lebih menyerlah kekuatan isi dan bentuknya. Genre puisi dan cerpen lebih menonjol pada era ini. Para sasterawan didorong oleh slogan �Seni Untuk Masyarakat�, memperjuangkan perubahan masyarakat melalui hasil karya sastera. Golongan bawahan yang tertindas akibat penjajah dan feudalisme, dipaparkan secara nyata dalam cerpen dan puisi. Kesusasteraan menjadi sebahagian daripada wahana yang meniupkan semangat dan kesedaran perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. 
   Di Indonesia kebangkitan Angkatan Pujangga Baru dan pelbagai gerakan kesusasteraan dalam tempoh sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua atau sesudah Kemerdekaan 1945, telah mencorakkan arah perjuangan politik dan pembaharuan sosialnya. Pengaruhnya ikut terpercik dalam gerakan sastera di Malaysia. Negara-negara yang baharu merdeka membangunkan konsep kenegaraan masing-masing di atas landasan keperibadian atau jati diri. Salah satu alat yang sangat penting ialah bahasa dan karya-karya yang dihasilkan dalam bahasa negara mereka.
   Dekad 1960-an, era selepas Malaysia mencapai kemerdekaan (1957), menandakan pertumbuhan pesat kesusasteraan Melayu dalam semua genre. Penerbitan novel amat menyerlah, di samping puisi dan cerpen melalui akhbar dan majalah. Genre drama ikut berkembang. Para penulis merakamkan semangat negara baharu yang sedang membangun. Sastera Melayu berjaya melontarkan kritikan terhadap para pemimpin politik dan pentadbir yang tidak menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Pada dekad ini gerakan dan usaha-usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dipergiatkan secara besar-besaran oleh Kerajaan. 
   Sebuah lembaga kebahasaan atas nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan pada tahun 1956, bertujuan antara lainnya bagi menuju dan mengembangkan bahasa, sastera, dan penerbitan berbahasa Melayu. DBP lahir daripada puncak nyala api perjuangan dan gerakan rakyat hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu.
   Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang melanda Malaysia telah menyedarkan para pemimpin tentang rapuhnya perpaduan bangsa. Pada dekad 1970-an, bermula era baharu yang menekankan kepada usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan suku bangsa. Malaysia mesti lahir sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu. Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang bertujuan membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan antara kaum dalam bidang ekonomi berasaskan suatu penyusunan semula masyarakat telah dilancarkan. Pelbagai dasar baharu digubal dan dasar-dasar utama negara ditegaskan kembali, termasuk Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan. 
  Sebuah ideologi negara atas nama Rukun Negara diperkenalkan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16-20 Ogos 1971. Dasar tersebut dirumuskan untuk mewujudkan perpaduan antara kaum melalui pembinaan jati diri. Pembinaan jati diri ini menekankan prinsip-prinsip kebudayaan rakyat asal atau kebudayaan Melayu dan Islam serta keterbukaan menerima unsur-unsur asing yang sesuai dan wajar ke dalam sebuah kebudayaan bangsa. Matlamatnya juga menekankan tentang keperluan keseimbangan kehidupan kemanusiaan dan kerohanian dengan pembangunan ekonomi dan kemajuan pembangunan fizikal negara.
   Dekad 1970-an merupakan dekad yang sangat penting kepada perletakkan asas pembinaan kesusasteraan kebangsaan di Malaysia. Pemilihan kesusasteraan berbahasa Melayu sebagai kesusasteraan kebangsaan di asaskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu, rumusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan mentafsirkan, kesusasteraan kebangsaan Malaysia hendaklah ditakrifkan sebagai hasil-hasil karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dan isi kandungannya haruslah berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat di Malaysia (Asas Kebudayaan Kebangsaan, 1973:520).  
   Rumusan Kongres memberi arah yang jelas kepada pembinaan kebangsaan. Dalam tempoh beberapa dekad ini ternyata hasil kesusasteraan kebangsaan itu berkembang, bukan sahaja dalam kalangan  penulis yang bahasa ibundanya bahasa Melayu malah, dalam kalangan bukan Melayu pun kian berhasil mencipta karya sastera yang bermutu. Pencapaian yang boleh dibanggakan ini dimungkinkan oleh pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak negara mencapai kemerdekaan dari sekolah rendah hingga universiti (1956-1983). Namun, sastera moden kita tidak mendapat tempat dalam penyelidikan kerana karya sastera kita tidak tersebar secara meluas di persada dunia dan dibaca di peringkat antarabangsa. 

KESEDARAN dalam tempoh lebih tiga dekad, sesudah Kongres Kebudayaan Kebangsaan (1971) ternyata kedudukan kesusasteraan Melayu masih belum kukuh. Suara-suara yang mempersoalkan tentang kesusasteraan Melayu masih kedengaran. Gerakan Kesusasteraan Kebangsaan Malaysia oleh institusi rasmi, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah salah satu dasar kerajaan yang menjadi tonggak ke arah mencapai matlamat mewujudkan satu identiti negara bangsa. Bahasa, sastera dan budaya memerlukan pengurusan yang bijak dan menjadi penting dalam pengurusan dan pentadbiran moden kerajaan, yang selama ini tidak berlaku dalam kehidupan kesusasteraan tradisional. Hal ini adalah kerana kesusasteraan tradisional  menjadi milik masyarakat dan dihayati bersama-sama. Perancangan dan pelaksanaan secara bersepadu sering pula ditekankan sebagai suatu keperluan pembangunan sosial dan peradaban.
Prasarana yang dibina untuk memajukan dan mengembangkan kesusasteraan kebangsaan memperlihatkan kesungguhan kerajaan menangani ...

  .Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera Januari 2005. Kini di pasaran... dapatkan segera!

 

  Arkib

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,

Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dalam talian sila layari . Untuk melanggan sila layari 

 

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                             Tarikh kemaskini: 30 Disember 2004. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal maklumat: Bahagian Majalah.  


Kemaskini pada 2017-03-16 15:50:25 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.