Dewan Sastera Disember 2006

 

 

 

 MAJALAH - DEWAN SASTERA

 

 

 

 

Daripada Editor
Pengadaptasian Suatu Keperluan

Surat Kepada Editor
Menilai Kejujuran dalam Estetika
Nasriah Abdul Salam

 

Puisi Pilihan

Nawawee Mohammad

Cerpen
Mencari Cahaya untuk Ana
Haji Baharudin Haji Zakaria

Kepulangan dari Jenin
Jasni Matlani

Apabila Hanya Hujan yang Turun
 Hajijah Haji Jais

Episod Luka
 Ruzaini Yahya

Drama 
Sebuah Ta'ziah Karbala (Bahagian Pertama)
Faisal Tehrani

 

Puisi Bulan Ini
Album Lama Kembali Terbuka 
Imlan Adabi

Rama-rama Putih
Abd. Razak @ Rezeki Othman

 Pada Titik
 Hasyuda Abadi.

Bahasa Si Bisu
Nor Jamilah Mohd. Nor

Embun Pagi 
Musalmah Mesra

Nafas dan Jasad
Shaari A.B.

Suara Semakin Hilang
Sabar Bohari.

Stesen Terakhir Itu
Rubiah Abdullah

Alunan Rindu 
M. Sabri Ibrahim

Setelah Hilang Bisa (ll)
Ehsan Jamily

Sandiwara lll 
Chai Loon Guan

Mengejar Titik-titik
Haron A.H.

Aroma Rumput Terbakar 
Marzuki Ali

Tiada 
A. Hamid Jemain

Wajah
A. Ghani Abdullah

Sepucuk Warkah daripada Tuhan
Saiee Driss

Matahari Petang 
Azmikadir

Pasu
Syaidul Azam Kamarudin

Ujana Klasik 
Pantun Berkait: Keluarga Bahagia
Abdul Halim "R"

 

 

 

Karyawan Bulan Ini
Nawawee Mohammad

Sebuah Catatan Silam Seorang Orang 
Nawawee Mohammad

Dunia Penyair dan Kepenyairan Nawawee Mohammad
Mohamad Daud Mohamad

Monolog Kecil
Buku, Oh Buku! Aku Cinta Kamu, Beri Aku Nikmat, dan Beri Aku Ilmu
Baha Zain


Fokus 
Adaptasi Melacurkan Karya Asal 
Faisal Tehrani.

Cabaran dan Kesetiaan dalam Karya Adaptasi 
Wahab Hamzah 

Selingkar Bundaran Kata
Daripada Bahasa Penjajah kepada Lagu Jiwa Bangsa
Muhammad Haji Salleh

Daripada Jabatan Sastera
Bengkel Penulisan Cerpen dan Novel untuk Penulis Baharu
 Mohd. Zamri Abdul Hamid

Bicara Karya 
Siapa Sarah?
Rohani Md. Yousoff

Pabila Hujan Turun
Belajar daripada yang Terbilang 
Shahnon Ahmad

Analisis
Isu-isu Sosial Semasa dalam Cerpen 
Talib Samat

Karya Mimbar dan Karya Kamar 
Rahimah Haji Hamid

Sastera Antarabangsa
Naguib Mahfouz Pemenang Hadiah Nobel Mesir
Ismail Ibrahim

 

 


Ulasan Buku
Pelangi, Kami Ingin ke Sana
Kesultanan Melayu Kelantan
Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus


 

 

 


 

 

 

 

 

 

 

 

 

DARIPADA EDITOR


Pengadaptasian Suatu Keperluan

Adaptasi atau pengadaptasian bermaksud penyesuaian kepada suatu situasi yang baharu. Adaptasi biasanya berkait secara langsung dengan hal seni dan sastera, khususnya yang melibatkan teks asal karya kreatif, seperti puisi, cerpen, novel, dan drama.
   Pengadaptasian daripada satu genre kepada suatu genre yang lain adalah “dihalalkan”. Adaptasi tidak dianggap sebagai “jenayah dalam penulisan” seperti kes ciplakan atau plagiat. Namun begitu, kebanyakan penulis memandang serong terhadap pengadaptasi, kerana pengadaptasian sering diumpamakan sebagai “pelacuran terhadap karya asal penulis”. Lantaran itu, banyak penulis yang tidak menyambut baik, jika karya mereka ditawarkan untuk diadaptasikan.
   Walau bagaimanapun, dari sudut positif, pengadaptasian menjadi kerja seni yang sewajarnya dialu-alukan, apatah lagi dalam perubahan zaman dan diikuti perkembangan teknologi. Hal ini adalah kerana melalui pengadaptasian karya yang bersifat teks akan berkembang dan dapat dinikmati dengan lebih cepat dan berkesan oleh masyarakat pada zaman ini. Misalnya pengadaptasian atau penyesuaian bentuk penyampaian karya klasik perlu dilakukan bagi membolehkan generasi sekarang menghayati khazanah intelek masyarakat Melayu tradisional kita.
   Dengan itu, usaha Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, mencungkil semula khazanah warisan bangsa daripada teks karya agung Melayu, patut dipuji dan disokong dengan dana.
   Jika sebelum ini ATMA telah berjaya menerbitkan cakera padat (CD) interaktif Sejarah Melayu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, kini ATMA berjaya lagi menerbitkan, Syair Ken Tambuhan. Menurut pengurus dan peneliti projek CD Interaktif Syair Ken Tambuhan, usaha ini akan dapat menarik pelajar tadika dan remaja menghayati teks klasik. Begitulah betapa perlunya pengadaptasian dilakukan terhadap teks sastera, mengikut perkembangan semasa dan memberikan kepuasan yang berbeza. 
                                                 Rozninah Abd. Azib

 


 

 

 

FOKUS  
 

Adaptasi Memperkosa Karya Asal?

OLEH FAISAL TEHRANI

Entah di mana, saya pernah membaca sasterawan Fatimah Busu pernah kecewa kerana adaptasi cerpennya Bunga-bunga Pulau ke drama televisyen tidak menjadi. Dengan itu, apabila saya dihubungi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang memaklumkan cerpen saya “Cahaya pada Jiwa” akan diadaptasi ke cereka televisyen, saya bermenung seketika. Tambah-tambah pula saya pernah mendengar sendiri kehampaan Sasterawan Negara A.Samad Said dan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan tentang hasil adaptasi karya mereka ke filem.
 Apakah prasangka ini munasabah?
 Mungkin sahaja.  Mungkin juga tidak.
    Pengarah filem dari Sweden, Ingmar Bergman pernah mengatakan filem tiada kena-mengena dengan sastera.  Novel tidak harus diadaptasi menjadi filem.  Kenyataan angkuh di atas menjadi lebih kukuh, memandangkan karyawan filem sendiri mempunyai prasangka yang besar terhadap sasterawan.  Mana tidaknya, tokoh perfileman dunia yang terkenal seperti Jean Luc Godard mengatakan, lebih teruk sesuatu karya lebih elok ia dijadikan filem.
    Kisah kehampaan pengarang terhadap hasil adaptasi yang dilakukan karyawan filem atau televisyen bukanlah baharu.  Fatimah Busu, A. Samad Said, S. Othman Kelantan, Ernest Hemingway, Milan Kundera, Achdiat K Mihardja, dan Philip Kaufman adalah antara senarai kecil pengarang yang tidak berpuas hati terhadap pengadaptasian yang dilakukan.
    Mengapakah kekecewaan mengulit mereka? Tidakkah mereka melihat potensi mesej yang mereka tulis iaitu, dalam karya sastera, dipanjangkan dalam medium lain, iaitu televisyen dan filem. Pengadaptasian ini akan melebarkan jumlah penerima “pesan kesenian” dan “kemanusiaan mereka”? 
   Paling tidak, jika habuan material dan kemasyhuran menjadi matlamat, mengapa mereka tidak terpengaruh akan Margaret Mitchell yang menjadi tersohor kerana karyanya Gone With the Wind dipindahkan ke filem oleh Victor Flemming? Trilogi The God Father yang menjadi klasik itu adalah hasil karya Mario Puzo, kemudian kita melihat Michael Ondatjee yang mengagumi filem The English Patient hasil daripada novel karangannya sendiri, yang memenangi Hadiah Booker.  Terkini juga dunia sastera melihat kegembiraan Annie Proulx, apabila cerpennya dipindahkan ke filem oleh Ang Lee dan menjadikan hasil jualan Brokeback Mountain meningkat.
    Maka, mengapakah adaptasi harus dimusuhi, atau dicurigai? Mudah sekali, proses pentafsiran semula karya sastera ke medium visual tidak lagi milik pengarang.  Maka, tentu sahaja pengarang berasa kurang selesa. Kekuatan kata-kata akan dileburkan menjadi kekuatan gambar. Karya sastera adalah medan, tempat pengarang bermain dengan wacana dan intelektual,  langsung mengembangkan “pesan” besarnya kepada pembaca.  Imaginasi dibina oleh khalayak sendiri. Sedangkan filem hanyalah satu pengalaman sementara, bersifat kekinian dan memaksa imaginasi penonton dengan gambar bergerak yang disuguhkan.
    Filem adalah sebuah seni yang terbuka dan longgar, ia boleh sahaja menjadi himpunan muzik, fotografi, dialog, gerak dan bermacam-macam lagi.  Karya sastera sama sekali tidak seperti itu kerana ia lebih konseptual, boleh dibincangkan, dan aspek dalamannya juga boleh diperdebatkan secara bersungguh-sungguh.  Novel boleh sahaja berjungkir balik dengan masa dan latar, secara bebas. Novel malah boleh berpindah randah ke dunia mimpi, imaginasi, ingatan dengan penuh  berkesan, sedangkan filem belum tentu dapat menggunakan kelebihan novel ini dengan efektif.  Inilah persengketaan seni imaginasi plastik (filem) dengan seni imaginasi kata (sastera), yang menjadi bumbu rasa kurang selesa antara dua dunia, seperti yang pernah dinukilkan oleh George Bluestone dalam bukunya Novels into Films (1957).
     Sepanjang proses adaptasi akan berlaku satu peminjaman, penambahan, pengurangan yang membenarkan situasi kesetiaan akan dicabuli, sehingga semangat karya sastera akan musnah di pihak nadanya, nilainya, imejnya serta ritma.  Perlambangan dan makna yang terhampar di sebalik keindahan kata-kata akan dibogelkan dan akan diberikan satu interpretasi baharu, iaitu gambar.  Di tangan karyawan yang memindahkan produk sastera itu untuk dijadikan hasil filem atau televisyen banyak perubahan akan berlaku.  Andai sang karyawan tidak bertanggungjawab, titik temu antara dua dunia atau medan akan berlaga, bukannya harmoni.
     Etienne Souriau seorang ahli estetika Perancis, memberikan pandangan, bahawa bahagian paling rumit ketika perpindahan novel atau cerpen ke bahasa sinematik ialah masa, tempo, ruang dan sudut pandangan.
    Tetapi hal ini boleh sahaja diatasi tentunya.  Alan Rosenthal cuba memberikan jalan tengah.  Dalam bukunya Writing Dokudrama: Dramatizing Reality for Film and TV (1995) beliau menyarankan adaptasi adalah “Proses merobah, membetulkan, membentuk, memotong, memudahkan, malah mencipta sesuatu yang baharu dengan syarat berjujur dengan semangat dan emosi karya asal”.
   Pendapat yang sama diungkapkan oleh V Swain Dwaight dalam buku beliau Film Script Writing (1993). Menurut beliau terdapat tiga pendekatan untuk melakukan adaptasi, iaitu yang pertama ialah akur dengan karya asal dari mula ke akhir, pendekatan kedua pula ialah memilih bab tertentu sahaja daripada novel atau cerpen, untuk dijadikan filem. Sementara pendekatan yang menurut beliau terbaik, adalah menulis lakon layar atau skrip baharu berdasarkan karya asal.
     Menurut Hizairi Othman, dalam eseinya, “The English Patient: Bukti Harmoni Sastera dan Filem (Dewan Sastera, November, 1997) terdapat tujuh sahaja novel Melayu yang pernah diadaptasi ke filem, sejak bermulanya industri perfileman negara ini.  Karya yang dimaksudkan ialah Cinta Gadis Rimba (Harun al-Rashid), Rumah Itu Dunia Aku (Hamzah Hussein), Bukan Salah Ibu Mengandung (Harun Hassan), Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Langit Petang (A.Samad Said), Mira Edora (Khadijah Hashim), Black Widow (Raja Azmi Raja Sulaiman), dan hasil filem lain (sesudah esei tulisan beliau itu) ialah novel Juara (S. Othman Kelantan) yang dipindahkan oleh pengarah filem U-Wei Haji Shaari menjadi Jogho. Maka, jumlah novel yang pernah dipindahkan ke filem di Malaysia hanyalah ... 

 

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera Disember 2006. Kini di pasaran... dapatkan segera!

  Arkib
 

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dan langganan http://www.dawama.com

 

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                            


Kemaskini pada 2017-03-16 16:20:24 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.