Dewan Sastera Ogos 2006

 

 

 

 MAJALAH - DEWAN SASTERA

 

 

 

 

Daripada Editor
Mereka yang Pergi, Karya yang Abadi
 

Surat Kepada Editor
Membuka Peluang kepada Penulis Singapura
Peter Augustine Goh

 

Puisi Pilihan
Wahba

 

Cerpen
Dubai pun Terus Berdenyut
Mohamed Fudzail.

Citra Mukhlisah
Nisah Haji Haron

Hadiah untuk Cikgu
 Jais Sahok

Kejiranan Baharu
 Ali Jusoh

Drama 
Sarah 
Noordin Hassan

 

Puisi Bulan Ini
Balada Merdeka
Peter Augutine Goh

Saudagar Mimpi
Siti Zaleha M. Hashim

 Jebat dan Edmond Dantes
 Raihani Mohd. Saaid.

Jangan Kauhampiri
Ahmad Sarju

Mengenangmu Malaysia Aku Jadi Pingin Menangis
Marzuki Ali

Anak-anak Geliga Generasi Mutiara
Azmi Yusoff

Menatang Takdir
Wan Asyeah Wan Nawang

Tumit-tumit Pantai Zaman
M.Ashikin

Koreksi 2006/1427
Abham T.R

Berita di Sempadan 
Ade Putragong

Genggam Bara Kota Niaga 
Siti Zainon Ismail

Taman yang Dilupakan
Anis

 

Ujana Klasik 
Gurindam Kempen Budi Bahasa 
Nimoiz T.Y

 

 

 

 

Karyawan Bulan Ini 
Wahba

Utusan Melayu Memberikan Ruang dan Peluang kepada Saya
Sharif Putera


Sorotan 
Bukan Sekadar Pengakuan Kosong
Hani Haron

Deklamasi Puisi untuk Pattani 2006: Suara dan Gema Puisi di Wilayah Selatan  
Lim Swee Tin


Ulasan Buku
Cerpen Mahua dan Cerpen Melayu Suatu Perbandingan

Dari Banggol Besi ke Jalan  Hamovniki

Kajian dan Karya Lengkap Ahmad Rashid Talu Jilid 1

Melepasi Aksara Usia Itu


Fokus 
Patriotisme dalam Sastera: Gambaran atau Cetusan? 
Jeniri Amir.

SITC Melatari Kemuculan Semangat Nasionalisme 
Abdul Halim Ali


Sastera Antarabangsa
Sastera Apakah yang Patriotik 
Faisal Tehrani


Reaksi
 Kajian Sastera Diperlukan dalam Dewan Sastera
Sohaimi Abdul Aziz


Monolog Kecil
Gila: Kesenjangan Semantik antara Perkamusan dan Kehidupan 
Baha Zain

 

Daripada Jabatan Sastera
Novel-novel Sebelum Hikayat Faridah Hanum
Siti Aisah Murad.

 

Selingkar Bundaran Kata
Dari Sebuah Negara Kecil, Sebuah Sastera Besar 
Muhammad Haji Salleh

 

Tabir Hayat
Dia Penggerak Sastera yang Setia
Zulkifli Abu


Analisis
Memahami Pemikiran Penyair Melalui Bahasa Kias 
A. Rahim Abdullah

Cerpen yang Baik: Antara Mengisahkan dan Menunjukkan
Sohaimi Abdul Aziz


Gema Harapan
Putik Buah Diranggak Badai
Arena Wati


Pabila Hujan Turun 
Apa akan terjadi kalau sebuah novel tiba-tiba berkata, "Aku Juga Sebuah Puisi!" 
Shahnon Ahmad

 

 

 

 

 

 

 

 

DARIPADA EDITOR


Mereka yang Pergi, Karya yang Abadi


Dunia sastera sekali lagi kehilangan seorang penulis dengan pulangnya  A. Rahmad atau nama sebenarnya Abdul Rahman Ahmad ke rahmatullah pada 6 Julai 2006.  Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada dunia sastera tanah air, khususnya bagi ASASI dan penulis negeri Kedah, kerana beliau merupakan penggerak persatuan penulis negeri itu.  Semasa hayatnya, beliau banyak memberikan suntikan semangat dalam menjayakan aktiviti penulisan di Negeri Jelapang Padi itu.
  Pemergian seorang penulis meninggalkan bekas-bekas kenangan yang sukar diluputkan daripada ingatan dan kukuh terpateri dalam sejarah.  Idea, pemikiran, semangat, dan suara hati penulis terus hidup untuk ke sekian kalinya, biarpun berapa lama pun mereka meninggalkan kita.  Karya mereka tetap berbicara dan masih berupaya mengusik perasaan.  Tegasnya, karya seseorang penulis tidak akan bersemadi bersama-sama jasadnya.
   Menatap novel terakhir Allahyarham A. Rahmad, Kehidupan Kedua, yang ditulis selepas kehilangan kedua-dua kakinya dan novel itu sempat dijadikan hadiah yang dititipkan oleh isterinya kepada kenalan terdekat arwah suaminya, cukup memberikan kesan kepada sesiapa sahaja yang membacanya.  Novel itu ialah kisah benar penulis yang ingin dikongsi bersama-sama yang boleh dijadikan iktibar.  Pada blurb buku itu dicatatkan, “ … Dunia ini diciptakan Tuhan memang untuk menduga manusia kalau tidak diduga, manusia tidak akan sedar.  Dalam berlari, tiba-tiba kita kena berhenti.  Dalam berkasih tiba-tiba kita kena berpisah.  Dalam berseronok tiba-tiba kita terpaksa menangis.  Dalam berkuasa tiba-tiba kita terpaksa menyerahkan kuasa kepada orang lain …”
   Begitu jugalah dengan penulis-penulis yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita kembali ke alam baqa, karya mereka tetap hidup dan setiap karya berperanan mencerna pemikiran pembacanya mengikut zamannya.  Penulis yang hidup pada zaman penjajahan misalnya, merupakan “pahlawan tinta” yang membakar semangat anak watan untuk bangun daripada “tidur” memperjuangkan kemerdekaan tanah air.  Sempena menyambut kemerdekaan tanah air, pada 31 Ogos 2006, Dewan Sastera bulan ini memfokuskan isu sastera patriotik membakar semangat nasionalisme.
    Jasa mereka tetap dikenang, kerana merekalah yang telah memberikan peluang kepada kita kini menikmati “kehidupan kedua” yang makmur setelah mereka menamatkan “kehidupan pertama” yang penuh getir di bawah cengkaman penjajah.  Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh mereka, mengampuni mereka, dan meletakkan mereka di maqam yang tinggi dalam kalangan orang yang soleh, amin.  Al- Fatihah.
                              Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang Ke-49.     

Rozninah Abd. Azib

 


 

 

FOKUS  
 

Patriotisme dalam Sastera: Gambaran atau Cetusan?

OLEH  Jeniri Amir


“Samado San, saya memahami perasaan Samado San terhadap gadis yang bernama Hamidah itu.  Tetapi orang lain tidak memahami sajak itu seperti saya. Pegawai-pegawai atasan saya menganggap saja itu ditujukan kepada tentera Inggeris di Burma.  Mengapa Samado san menulis sajak seperti itu?” tanya Komaki, seorang tentera Jepun kepada A. Samad Ismail. 
    Sajak “Bunga dari Utara” hampir mendatangkan bala kepada A. Samad Ismail, seorang sasterawan-wartawan terkemuka tanah air pada zaman pendudukan Jepum.  Bunga yang merujuk kepada kekasihnya, Hamidah Hassan, yang kemudiannya menjadi isterinya ditafsirkan dengan maksud lain oleh pihak pemerintahan Jepun.  Ketua Pengarang Berita Malai – akhbar zaman Jepun itu -- terdiam mendengar penerangan Komaki.  Badan Samad menjadi lesu dan keringat dingin merintik di dahinya.  Begitu jauh sekali tafsiran pihak Jepun yang sentiasa curiga, walhal lambang sajak itu ditujukan kepada kekasihnya yang pada waktu itu berada di utara, Pulau Pinang.
   Menjadi pengarang dan wartawan memang mengundang risiko pada zaman penjajahan.  Jika tersilap gaya, Samad tentu terpaksa berdepan dengan Kempei Tai untuk diseksa atas tuduhan tidak setia kepada Dai Nippon.  Sekembalinya British ke Semenanjung Tanah Melayu, rumah A. Samad telah didatangi oleh perisik British.  Mereka datang menaiki jip lengkap bersenjatakan stengan yang diiringi oleh askar Gurkha.  Mereka menyiasat latar belakangnya sebagai pengarang dan wartawan.  Pada waktu itu, beliau sedar bahawa beberapa orang temannya telah ditahan oleh British.  Itu merupakan antara cebisan pengalaman penyair dan sasterawan pada  zaman penjajahan.
    Ungkapan ‘mata pena lebih tajam daripada pedang’ mungkin kedengaran klise.  Tetapi sejarah membuktikan bahawa banyak kuasa dan negara tumbang bukan kerana perang dengan menggunakan senjata, tetapi perjuangan menggunakan tinta.  Dalam buku The Political Unconscious, Robert Jameson menyatakan bahawa kecintaan terhadap tanah air perlu dijadikan aspirasi kepengarangan.  Malah, bagi beliau, teks sastera dalam apa-apa aliran pun, akan menggambarkan konsep kecintaan terhadap tanah air. 
     Iqbal menyatakan patriotisme ialah satu berkah yang sepenuhnya bersifat fitri dan mempunyai tempat dalam kehidupan moral manusia.  Patriotisme mencetuskan gerak kesedaran rakyat yang menghala seluruh upaya mereka untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan kemudiannya menegakkan kedaulatannya daripada sebarang ancaman luar atau dalam.  Dengan kata lain, patriotisme merupakan fahaman dan keinginan kuat yang menuntut individu berjuang demi bangsa dan negaranya bagi mencapai kebebasan dan kemerdekaan dan memperoleh hak yang sewajarnya dari segi politik, sosial, dan ekonomi. 
    Setiap zaman dalam sejarah dunia mempunyai pahlawan yang namanya tidak tercatat dalam buku sejarah.  Yang tergolong dalam kategori itu ialah para penyair, pengarang, dan wartawan.  Nama mereka sering digerhanai oleh nama pemimpin politik, tetapi sebenarnya sejak awal kurun ke-19 lagi golongan ini telah berjuang melalui karya kreatif, walaupun sebahagian mereka berselindung di sebalik nama samaran.  Namun, unsur tersebut sebenarnya terserlah jauh sebelumnya jika ditelusuri tradisi sastera lisan, seperti yang terpancar melalui sastera epik, cerita panji, dan cerita lipur lara.
    Mereka ialah pejuang yang memiliki kesedaran ekoran daripada tekanan dan penindasan yang sekian lama oleh penjajah sehingga mereka bangkit melalui mata pena untuk memastikan nasib bangsa berasaskan ketuanan Melayu terbela.  Perasaan cinta dan bangga yang mendalam dan kental terhadap tanah air atau patriotisme merintis perubahan besar dalam perjuangan dan kesedaran politik, sosial, dan ekonomi menjelang kemerdekaan.  Zaman pascamerdeka ialah zaman yang bergelora yang menyaksikan ketidaktentuan nasib yang menimpa anak watan.  Dapat dikatakan bahawa ideologi nasionalisme dan patriotisme Melayu merupakan penggerak sosial yang cuba mempertahankan hak watan orang Melayu dan faktor yang menggerakkan proses menuntut kemerdekaan ke arah pembentukan negara bangsa. 
     Di tengah-tengah penjajahan dan politik yang bergelora dan nasib yang tidak terbela dari segi sosioekonomi, pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua membawa ke zaman pendudukan Jepun, hingga ke zaman Malayan Union, menyaksikan kaum Melayu terus tertekan dan terpinggir ketika kaum pendatang semakin maju.  Kesedaran yang mendalam terhadap nasib bangsa telah meninggalkan kesan psikologi yang mendalam terhadap pahlawan tinta itu, dan seterusnya terhadap corak dan perkembangan sastera Melayu.  Orang Melayu, di pedalaman dan di bandar, ingin tahu perkembangan dan pergolakan politik, sosial, pendidikan, dan ekonomi bangsa. 
      Penulis yang mulai mengangkat tema nasionalisme dan patriotisme dalam novel ialah Syed Sheik Al-Hadi, dan kemudiannya diikuti oleh Ahmad Rashid Talu, dan Ahmad ...

 

Ikuti selanjutnya di dalam Majalah Dewan Sastera Ogos 2006. Kini di pasaran... dapatkan segera!

  Arkib
 

Majalah di atas boleh didapati di Kedai Buku Koperasi Dewan, Menara DBP,Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur Kedai Buku DBP, Menara DBP, Jalan Dewan  Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka,Tel: 03-21485869 / 03-21433504  Faksimile:03-2148788. Untuk membeli dan langganan http://www.dawama.com

 

rohaya@dbp.gov.my 03-21482282untuk Pertanyaan                                                                            Tarikh kemaskini:11 Ogos 2006. Penyelenggara : Maisura Mohd.Sani. Pembekal Maklumat: Puan Rohaya Yusof ,Bahagian Majalah. 


Kemaskini pada 2017-03-16 16:18:05 daripada Pentadbir Sistem

  •  
  • Print
  • Email this page

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.