8 Mei 2016 - SERDANG: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini melancarkan 22 judul karya klasik menerusi penjenamaan semula.

Karya berkenaan meliputi sastera hikayat, puisi dan novel terbitan Oxford Fajar Sdn Bhd untuk menghidupkan semula khazanah sastera tersimpan lama tetapi indah dan mengandungi pengajaran boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, berkata usaha itu dapat membantu generasi muda mengenali sastera lama bersifat malar segar dan diminati serta dikaji sehingga kini.

"Inisiatif menerbitkan semula karya melalui projek ini dilaksanakan menerusi Projek Pelesenan Hak Cipta DBP dengan kerjasama penerbit Oxford Fajar Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Buku DBP-Oxford Fajar Sdn Bhd dan Kad Rakan DBP sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, sebentar tadi.