Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange to thin layoutChange to default layoutChange to wide layoutChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
T
T
T
T
T
T
Talian Penting 03-2147 9000 | webmaster@dbp.gov.my |     
   
   
Laman Web Rasmi
Dewan Bahasa dan Pustaka                           

                                                                                                                                                                                             Soalan Lazim      Hubungi Kami      Aduan dan Maklum Balas       Peta laman

Print

Memahami kepentingan dua bahasa
 

DUA perkara penting mengenai kepentingan bahasa diperkatakan kelmarin. Pertama mengenai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang sedang berlangsung sekarang dan satu lagi mengenai kepentingan mempelajari bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar tempatan.
Laporan akhbar bertajuk ‘Galak pelajar antarabangsa kuasai bahasa Melayu’ adalah berkaitan dengan usaha kerajaan memperluas bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi manakala berita bertajuk ‘Bahasa Inggeris sekat siswazah’ merujuk kepada ketidakupayaan pelajar tempatan menguasai bidang kerja kerana kelemahan kebanyakan mereka menguasai bahasa Inggeris. Tidak dinafikan bahawa salah satu usaha untuk memartabatkan dan mempopularkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa adalah dengan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di peringkat global.
Seperti kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, universiti tempatan memainkan peranan ke arah itu kerana apabila universiti tempatan menerima kemasukan pelajar-pelajar dari luar negara, warga asing akan dapat mempelajari bahasa Melayu dan sudah tentu ini akan menambah jumlah mereka yang mampu berbahasa Melayu. Ini ditambah pula dengan institusi-institusi pengajian tinggi swasta yang mewajibkan kursus bahasa Melayu sebagai bidang pengajian bagi setiap pelajar di institusi tersebut.

 

Inilah antara langkah wajar menjadikan bahasa Melayu terkenal dan diyakini oleh masyarakat tempatan kerana orang asing pun diwajibkan mempelajari bahasa Melayu apabila belajar di negara ini. Kita tentunya berasa malu apabila orang asing boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik berbanding dengan sesetengah rakyat tempatan yang masih terkial-kial untuk menguasai bahasa sendiri. Kita juga tentunya berasa malu apabila mendengar orang kita bercakap bercampur aduk bahasanya sehingga kita pernah dicap sekerat belut sekerat ular dalam berbahasa.

 

Pada masa yang sama, kita berasa berasa amat kagum melihat keupayaan peserta dari negara luar berbahasa Melayu ketika menjayakan pidato dalam bahasa Melayu yang sudah masuk kali kesembilan diadakan di negara kita pada tahun ini. Untuk memperluas kedudukan bahasa Melayu, pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mencadangkan agar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh penduduknya bertutur dalam bahasa Melayu tetapi masih dalam perbincangan. Di dunia terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu dan angka ini tentunya akan bertambah selaras dengan pertambahan penduduk.

 

Dalam pada itu, kita tidak nafikan bahawa kelemahan menguasai bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa menjadi penyekat kepada siswazah tempatan memasuki pasaran kerja. Hal ini turut dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap yang antara lain menyebut bahawa pasaran kerja buat masa ini lebih bersifat dinamik ekoran perubahan pesat dalam penggunaan teknologi dan kepelbagaian tuntutan majikan. Banyak majikan yang mementingkan kebolehan tenaga pekerjanya dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris kerana keupayaan berkomunikasi dalam dua bahasa ini akan dapat menambahbaik sesebuah organisasi. Oleh itu, jelaslah bahawa perubahan zaman dan arus waktu turut mengheret sama soal-soal bahasa sesebuah negara iaitu warganya mestilah memahami kepentingan bahasa. Bagaimanapun, matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa perpaduan tidak boleh ditolak ke tepi kerana di negara kita, bahasa Melayulah yang menjadi pemudahcara membentuk perpaduan kaum dan mewujudkan keberkesanan dari segi komunikasi antara masyarakat tidak kira di mana mereka berada.

 

Usaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sudah dilakukan sejak sekian lama dengan mengadakan pelbagai kempen termasuklah sambutan Bulan Bahasa di peringkat kebangsaan. Di sekolah, anak-anak kecil tidak kira apa bangsa pun sudah dilatih dan diajar berbahasa Melayu. Di rumah, anak-anak Melayu bercakap bahasa Melayu sejak mula menyebut huruf dan kata. Apabila anak-anak Melayu sudah meningkat dewasa dan berada di tengah-tengah masyarakat dan pasaran kerja, mereka sendirilah yang menentukan hala tuju bahasa mereka, sama ada hendak memartabatkan bahasa sendiri atau sebaliknya. Walaupun bahasa Inggeris itu penting untuk jaminan masa depan, mereka mesti meletakkan bahasa Melayu di peringkat paling atas, demi masa depan bahasa Melayu. -

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk pada Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam Paparan terbaik Internet Explorer 9.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.