Kerja pemuliharaan mural siap akhir tahun ini


KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan usahasama GDP Architect Sdn Bhd sedang memulihara lukisan mural di bangunan lama DBP di sini.

Konservator GDP Architect Sdn Bhd, Prof. Dr A. Ghafar Ahmad berkata, kerja pemuliharaan telah mula dilaksanakan pada Mei 2014 dan dijangka siap akhir tahun ini dengan dipantau Jabatan Kerja Raya.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat pemuliharaan itu hari ini, beliau berkata projek sedemikian adalah yang pertama dilakukan di Malaysia dan menambah pihak terlibat berdepan pelbagai cabaran kerana tidak mempunyai rujukan.

Pemuliharaan lukisan mural itu menggunakan mozek yang ditempah khas dari Itali berukuran satu sentimeter setiap satu yang mempunyai warna hampir sama seperti lukisan asal Ismail Mustam yang bertemakan 'Cara Hidup di Malaya dan Bahasa Kebangsaan'.

Menurut A. Ghafar, GDP Architect Sdn Bhd menggunakan dua kaedah iaitu pengimbasan laser 3D dan fotografi revolusi tinggi untuk kerja pemuliharaan lukisan mural tersebut.

"Kaedah ini digunakan untuk mencatat kedudukan mural berdasarkan pantulan pada permukaan mozek dan digunakan untuk memetakan warna profil mural," katanya.
Beliau menjelaskan pelbagai faktor menyumbang kepada kerosakan lukisan mural itu termasuk kelembapan pada permukaan dinding mural akibat kebocoran tandas dewan dan gegaran berterusan di jalan berdekatan.